Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei raih gangsa di Kem Cyberkids ASEAN 2024

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Wakil Negara Brunei Darussalam ke Kem Cyberkids ASEAN 2024 telah menerima anugerah gangsa bagi Kem Cyberkids ASEAN 2024 yang diadakan di Hanoi, Vietnam.

    Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan Kementerian Pendidikan, di sini, menyatakan pertandingan anjuran Kementerian Maklumat dan Komunikasi Vietnam itu telah diadakan kelmarin dan hari ini.

    Mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan berkenaan ialah empat murid dari Sekolah Rendah Rimba III dalam dua buah pasukan iaitu Dayangku Nur Wadya Sorfena binti Pengiran Wira Satria, Dayang Noor’ Afiah Nabilah binti Ahmad ‘Afif, Awang Mohammad Daniyal Al-Baihaqi bin Haji Roslan dan Awang Dasuki bin Mohamad Hashnalhakhim.

    Pasukan berkenaan juga diiringi oleh guru mereka iaitu Hajah Kartika binti Haji Othman dan Awangku Khairi Waddin bin Pengiran Tajuddin.

    Sekolah Rendah Rimba III terdahulu telah memenangi Kategori Sekolah Rendah Pertandingan Pengekodan dengan Peranti Pintar bagi Sekolah-sekolah Kerajaan yang diadakan pada Februari lalu, iaitu kemuncak bagi projek rintis antara AITI dan Kementerian Pendidikan yang bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran pengekodan dan pemikiran komputasi melalui pembelajaran menggunakan peranti pintar.

    Empat pelajar dari Sekolah Rendah Rimba III bergambar bersama pingat gangsa yang diperolehi. – GAMBAR SERAHAN AITI
    Gambar ramai bersama peserta-peserta dari negara lain. – GAMBAR SERAHAN AITI

    Sekolah berkenaan juga merupakan pemenang bagi Kategori Sekolah Rendah dalam Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2024 yang diadakan pada Julai lalu.

    Dengan membawa tema, Educational Games or Interactive Stories to Foster Students to Become Scientists, para peserta ditugaskan untuk menjana sebuah projek menggunakan perisian Scratch versi 3.0.

    Daripada sebanyak 10 buah pasukan, pasukan Myanmar telah mendapat anugerah emas dengan pasukan Malaysia dan Vietnam mendapat anugerah perak. Sementara itu, pasukan-pasukan lain termasuk dua pasukan dari Brunei telah menerima anugerah gangsa.

    Kem Cyberkids ASEAN diperkenalkan pada 2008 dan dimulakan oleh Malaysia bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran pelajar-pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun dalam pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, penggunaan kreatif ICT serta kesedaran isu-isu merentas budaya.

    Kem itu merupakan salah satu inisiatif di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) yang disokong oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM) yang mana AITI terlibat secara aktif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda