Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) telah menganjurkan majlis penyampaian plak bagi memberi penghormatan kepada penerima Anugerah Piawaian Pelancongan ASEAN Negara Brunei Darussalam.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan kepada entiti Brunei sempena Forum Pelancongan ASEAN 2025 (ATF 2025), yang diadakan pada 20 Januari lalu di Johor, Malaysia bertemakan Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berlangsung di VIP Lounge, KSSUP itu ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Anugerah Piawaian Pelancongan ASEAN 2025 bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan dan kerjasama dalam rantau ini dengan mengiktiraf usaha yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan budaya. Anugerah tersebut mengiktiraf dan menyokong perniagaan, organisasi dan individu yang menyumbang secara signifikan untuk memajukan standard merentas sektor utama seperti perdagangan, industri, teknologi dan inovasi.
Antara penerima terbilang, The Empire Brunei Spa telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Spa ASEAN ke-3. Selain itu, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mendapat pengiktirafan atas kecemerlangan mereka dalam Anugerah Piawaian Tandas Awam ASEAN ke-3.
Manakala Sumbiling Eco Village turut diberi penghormatan dengan Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN (CBT) dan Trueliving Spa and Studio dengan Anugerah Perkhidmatan Spa ASEAN ke-3, atas pencapaian cemerlang mereka semasa majlis Anugerah Piawaian Pelancongan ASEAN 2025 yang berlangsung di Johor.
Majlis turut menyaksikan sesi penyampaian sijil penyertaan bagi Program Pemantapan Pembekal Perkhidmatan Pelancongan bagi Tahun 2024 kepada lima peserta iaitu Taman Rekreasi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Herba Putat, IAM Food Enterprise, Oregano Enterprise, Persatuan Astronomi Brunei Darussalam dan Rumah Panjang Sibut.
Program Peningkatan Pembekal Perkhidmatan Pelancongan bertujuan untuk membimbing penyedia perkhidmatan pelancongan dalam meningkatkan produk dan perkhidmatan mereka untuk memenuhi standard yang lebih tinggi. Objektif program itu adalah untuk membantu penyedia perkhidmatan pelanco-ngan mengenal pasti segmen pasaran utama, kekal sejajar dengan aliran semasa dan membangunkan titik jualan yang tersendiri. Selain itu, ia memberi tumpuan untuk menambah nilai dan sentuhan peribadi bagi meningkatkan pengalaman pelawat.
Majlis itu bukan sahaja meraikan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap kecemerlangan dalam bidang pelancongan tetapi juga menekankan dedikasinya untuk memupuk amalan pelancongan yang mampan dan bertanggungjawab, selaras dengan visi ASEAN untuk sektor pelancongan yang cergas dan inklusif.