Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei raih tempat keempat Piala Davis

    Oleh Fadhil Yunus

    COLOMBO, 14 OGOS – Pasukan tenis Brunei Darussalam menduduki tempat keempat daripada 11 peserta dalam Acara ‘A’ Piala Davis Asia 2022 atau Kumpulan IV Oceania berikutan kekalahan 2-0 ke atas Kyrgyzstan di Gelanggang Persatuan Tenis Sri Lanka di Colombo, Sri Lanka semalam.

    Kapten Billy Wong Kee Loong tewas kepada Ilgiz Kamchibekov 4-6, 7-5, 6-1, sementara Awang Mohammad Aiman Abdullah disingkirkan 6-0, 6-0 oleh Mirgiiaz Mirdzhaliev.

    “Kami berasa amat gembira dengan keputusan dalam perlawanan Piala Davis tahun ini,” beritahu Wong kepada media semalam.

    “Ia adalah prestasi terbaik kami dalam acara ini memandangkan kami tidak pernah memenangi dua perlawanan dalam satu acara.

    “Untuk kami bertanding dan berusaha meraih tempat ketiga dalam playoff merupakan satu pencapaian besar, dan setiap anggota pasukan harus berasa bangga dengan diri mereka,” tambah Wong.

    Sebelum itu, Brunei berjaya memasuki playoff selepas memenangi tempat kedua Kumpulan ‘B’ di belakang pemenang kumpulan, Iraq.

    Brunei memulakan kempen mereka dengan kekalahan 3-0 kepada Iraq sebelum memenangi perlawanan berturut-turut ke atas Yaman dan Maldives.

    Kejohanan Sri Lanka menandakan penyambungan semula Brunei dalam sukan kompetitif antarabangsa sejak bermulanya pandemik COVID.

    Ia juga menandakan kepulangan mereka dalam kejohanan pasukan tenis lelaki antarabangsa Piala Davis buat pertama kalinya sejak 2008.

    Aksi Billy Wong semasa menentang Ilgiz Kamchibekov dalam kejohanan tenis Piala Davis baru-baru ini. – Gambar serahan Persatuan Tenis Sri Lanka
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda