Brunei rekod kes harian terendah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Laporan mengenai jumlah kes baharu jangkitan COVID-19, hari ini, terus mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 22 kes sejak gelombang kedua COVID-19 melanda Negara Brunei Darussalam pada Ogos lalu.

“Dengan kes terendah hari ini, negara mencatatkan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 seramai 14,291 orang,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah.

Menurut Yang Berhormat Dato, terdapat tambahan satu kes baharu kepada satu kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya dengan dua kluster baharu dikesan melibatkan 16 kes.

“Kluster-kluster baharu itu merupakan kluster kediaman di mana satu daripadanya iaitu Kluster Serikandi Jerudong staff house yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelasnya.

Empat kluster pula ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster tersebut selama 28 hari, iaitu Kluster Derma Wangsa, Kluster Jodico Sdn Bhd, Kluster 3278 dan Kluster 8598, menjadikan jumlah kluster aktif menurun kepada 158.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala, terdapat lima kes baharu yang masih disiasat sumber jangkitannya dengan 68 kes disahkan sembuh hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sembuh seramai 13,713, selain, jumlah kes aktif ialah 480 kes,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.

“Lima kes dalam Kategori 5 masih dirawat di unit rawatan intensif yang mana kesemuanya memerlukan bantuan mesin pernafasan dan tidak ada kes dirawat bagi Kategori 4,” jelasnya.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,981 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 566,587 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk saling ingat mengingati dan sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat dan penduduk negara ini untuk sentiasa mematuhi segala arahan-arahan yang dikeluarkan dalam memastikan Fasa Peralihan nanti akan berjalan dengan lancar.

“Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa melindungi kitani semua dan dijauhkan daripada segala mara bahaya,” tambahnya.