BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) mengenai kerjasama ketenteraan yang berlangsung di Radisson Royal Hotel, Moscow, Rusia, kelmarin.
Hadir bagi menandatangani bagi pihak negara ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan mewakili Persekutuan Rusia ialah Timbalan Menteri Pertahanan Persekutuan Rusia, Leftenan Jeneral Alexander Fomin.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Rusia, Haji Haini bin Haji Hashim; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.
Terdahulu, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz juga mengadakan perbincangan dua hala dengan Leftenan Jeneral Alexander Fomin yang antara lain memfokuskan mengenai memberikan rangka kerja bagi kerjasama pertahanan dua hala di antara kedua-dua negara.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, upacara penandatanganan MoU itu berlangsung di samping Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow ke-6, yang dikendalikan selama dua hari oleh Kementerian Pertahanan Persekutuan Rusia.



Persidangan tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Persekutuan Rusia, Jeneral Tentera Sergey Shoygu, yang telah menggariskan kepentingan membincangkan pelbagai isu cabaran dan ancaman kese-lamatan yang dihadapi di abad ke-21 dalam ucapan alu-aluan beliau.
Sebelum ini, Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia telah menandatangani satu lagi MoU mengenai Kerjasama Ketenteraan-Teknikal pada Mei tahun lepas di Sochi, Persekutuan Rusia semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia.
Dengan penandatangan kedua-dua MoU tersebut akan meningkatkan lagi hubungan pertahanan antara Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia dan komitmen mereka untuk meluaskan kerjasama pertahanan dalam bidang-bidang yang saling bermanfaat.