Saturday, March 1, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sambut 1 Ramadan pada Ahad

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) mengumumkan bahawa ketetapan 1 Ramadan 1446 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam akan jatuh pada 2 Mac ini.

    Sehubungan itu, umat Islam di negara ini mula menunaikan sembahyang Sunat Tarawih dan Witir serta bertadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara malam, 1 Mac selepas sembahyang Fardu Isyak.

    Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua MUIB setelah bersidang mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan 1446 Hijrah tahun ini dari lokasi-lokasi yang ditentukan.

    Hasil Merukyah Awal Bulan Ramadan 1446 Hijrah petang tadi telah diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri.

    Persidangan mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan 1446 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan ke-hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa mengumumkan hasil rukyah anak bulan Ramadan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Persidangan yang diadakan di Bilik As’syura, Tingkat 1, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) juga dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan MUIB.

    Pada tahun ini, lima lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Ramadan iaitu Daerah Brunei dan Muara di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuh raya Tungku; Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara; dan Bukit Agok, Jerudong. Manakala bagi Daerah Tutong bertempat di Bangunan Hilal Bukit Ambog; dan bagi Daerah Belait ialah di Bangunan Hilal Bukit Lumut.

    Terdahulu, acara keagamaan bagi menunggu hasil merukyah Awal Bulan Ramadan 1446 Hijrah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, KHEU.

    Acara dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar Tahun 10, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Ishqal Ezairy @Abdul Mateen bin Mohammad Shahruni.

    Acara diteruskan dengan tazkirah Ramadan disampaikan oleh Penolong Ra’es, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk. Kemudian bacaan tahlil dan Doa Arwah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Tanah Jambu, Awang Mohd Saifullah bin Rosli, yang seterusnya mengimamkan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

    Manakala Azan Maghrib dikumandangkan oleh Bilal Tingkat I, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Awang Muhammad Hafiq Fakhry bin Haji Affendy Buang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda