Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Hari Raya Aidiladha akan disambut oleh umat Islam di negara ini pada Ahad, 10 Zulhijjah, 1440H bersamaan 11 Ogos 2019M.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) mengumumkan tarikh Hari Raya Aidiladha itu pada persidangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selepas sesi merukyah anak bulan Hari Raya Aidiladha.
Sehubungan dengan itu, sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha akan diadakan pada Ahad, 11 Ogos bermula jam 7:30 pagi di masjid-masjid, surau-surau serta balai ibadat di seluruh negara. Sementara itu, ibadah korban boleh dilakukan selepas sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha sehinggalah hari-hari tasyrik pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1440H.
Turut hadir pada persidangan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Pembangunan selaku ahli MUIB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Naib Yang Dipertua MUIB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon; Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Hakim-hakim Syar’ie dan pegawai-pegawai mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, JPM; KHEU dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan telah berada di lima lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Aidiladha 1440 Hijrah).

Lokasi tersebut ialah Bangunan Ibu Pejabat DST, Tungku Link; Bukit Agok, Jerudong; Bukit Ambog, Tutong dan Bukit Lumut, Belait.
Terdahulu, KHEU telah mengadakan acara keagamaan di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan KHEU, Jalan Dewan Majlis, Berakas, bagi sama-sama menunggu hasil penglihatan anak bulan Zulhijjah 1440H dari tempat- tempat yang telah ditentukan.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran; juara Kategori ‘E’ Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas daripada penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, diketuai oleh Awang Abdul Rahim bin Haji Abas; pelajar Tahun 2 ‘Aliyah Qiraat ITQSHHB.
Ini diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta bacaan Doa Selamat seterusnya sembahyang fardu Magrib berjemaah dan solat hajat diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Tanah Jambu, Awang Mohammad Saifullah bin Rosli manakala Azan dilaungkan oleh Bilal Masjid Kampung Pelambaian, Awang Mohammad Faisal bin Abdul Fauzi.