Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sambut Aidiladha 29 Jun ini

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah 1444 Hijrah bersamaan dengan 29 Jun 2023 setelah hasil rukyah menetapkan 1 Zulhijah 1444H bagi negara ini jatuh pada 20 Jun 2023 yang telah diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei hari ini.

    Sehubungan itu, sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha akan bermula pada jam 7:30 pagi hari tersebut.

    Pengumuman dibuat setelah menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui pemakluman oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam.

    Yang Berhormat Pehin membuat pengumuman itu setelah selesai persidangan mengenai hasil merukyah anak bulan Zulhijah 1443 Hijrah yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis, Berakas.

    Ia turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua,  Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pembangunan,  Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin, dan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Pada tahun ini, lima buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Zulhijah 1443 Hijrah, iaitu Tanjung Batu, Pekan Muara, Bangunan DST, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Ambog, Daerah Tutong.

    Hakim-hakim syarie dan para pegawai Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari KHEU, pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri telah berada di lima lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Zulhijah, 1444 Hijrah).

    Terdahulu, majlis keagamaan telah diadakan sementara menunggu hasil rukyah di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, KHEU.

    Foto Canva.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda