Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sambut Hari Jantung Sedunia

    Oleh Yusrin Junaidi                  

    BANDAR SERI BEGAWAN, 06 OKT – Olahraga adalah sangat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung. Aktiviti fizikal membantu meningkatkan peredaran darah, menguatkan otot jantung, dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

    Menurut Dr. Peter Tay Boon Chye, Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC Sdn Bhd, menekankan bahawa, “Penyakit kardiovaskular boleh dicegah, dan acara Brunei Run sempena Hari Jantung Sedunia 2024 hari ini mengingatkan kita untuk kekal aktif, membuat pilihan yang sihat, serta menggalakkan orang lain melakukan perkara yang sama.

    Dr. Peter Tay Boon Chye menyampaikan ucapan.

    Gleneagles JPMC berbangga untuk memperjuangkan usaha ini dan bersama-sama kita boleh mencapai komuniti yang lebih sihat,” tambah beliau.

    Acara Brunei Run anjuran Gleneagles JPMC Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan (MOH) bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan semasa Program Bandarku Ceria dan dihadiri oleh tetamu kehormat Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Hari Jantung Sedunia disambut setiap 29 September yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit jantung ataupun kardiovaskular. Ini termasuk meningkatkan kesedaran mengenai pencegahannya dan kepentingan menjaga kesihatan jantung di kalangan masyarakat.

    Dengan tema Hari Jantung Sedunia kali ini, Use Heart for Action atau Gunakan Jantung untuk bertindak, ia menekankan beberapa perkara seperti Tanggungjawab Individu yang menggesa setiap individu untuk mengambil langkah proaktif dalam kehidupan harian mereka bagi menjaga kesihatan jantung, termasuklah membuat pilihan gaya hidup sihat; Usaha Kolektif Komuniti Menekankan yang mementingkan penglibatan dan sokongan komuniti dalam memberikan inspirasi dan dorongan kepada orang di sekeliling bagi mewujudkan perubahan positif yang berpanjangan serta Akses kesihatan yang Adil untuk Semua yang menyeru tindakan dalam menyokong akses yang adil terhadap kesihatan jantung, dengan memberi kuasa kepada masyarakat untuk mendesak dasar-dasar yang mengatasi ketidaksamaan dalam kesihatan dan memastikan setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk menjalani kehidupan yang sihat.

    Dengan adanya acara larian, walkaton dan pameran ini, MOH berharap kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung kepada setiap individu dan juga di kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

    Terlebih dahulu acara dimulakan dengan pelepasan bagi pertandingan larian sejauh 10km kategori terbuka lelaki dan perempuan. Kemudian diteruskan dengan sesi aerobik dan diikuti dengan acara pelepasan 3km oleh tetamu kehormat.

    Atas & Bawah: Pelepasan bagi pertandingan larian sejauh 10km kategori terbuka lelaki dan perempuan.

    Atas & Bawah :  Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad Isham menyertai senamrobik.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad Isham menyempurnakan pelepasan acara 3km.
    Antara yang menyertai acara 3km.

    Hadiah bagi pemenang-pemenang pertandingan larian 10km akan memenangi wang tunai sebanyak $400.00 untuk pemenang tempat pertama, tempat kedua sebanyak $300.00, tempat ketiga sebanyak $200.00, tempat keempat sebanyak $100.00 dan kelima sebanyak $50.00.

    Pemenang-pemenang cabutan bertuah juga diumumkan dan hadiah utama telah disumbangkan oleh syarikat Boeffi berupa satu alat sukan Threadmill yang baru sahaja dilancarkan oleh tetamu kehormat pada hari ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad Isham selepas pelancarkan Threadmill oleh syarikat Boeffi.

    Tetamu kehormat kemudiannya menyaksikan Gleneagles JPMC Sdn Bhd Pavillion yang mempamerkan perjalanan kesihatan jantung pesakit termasuk pameran program-program cara hidup sihat yang dibiayai sebagai komitmen CSR dan diungkayahkan oleh Pusat Promosi Kesihatan.

    Atas & Bawah : Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad Isham semasa mengunjungi salah sebuah pameran yang diadakan.GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Acara tersebut diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penaja dan rakan kongsi termasuk Boeffi, Anta, Dynamic Sports, Geliga, HSN Fitness, Laneige, Prysm, Snap, SP Setia Sdn Bhd dan Suci Brand.

    Turut hadir di acara ini ialah Setiausaha Tetap, MOH, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), MOH, Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Ketua Pegawai Eksekutif, Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay Boon Chye; ketua-ketua Jabatan; pegawai-pegawai kanan; pegawai dan kakitangan MOH dan Gleneagles JPMC Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda