Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Negara Brunei Darussalam akan menyambut 1 Syawal esok (26 Jun) setelah hasil merukyah anak bulan Syawal di beberapa tempat yang ditetapkan, semalam, telah tidak nampak dilihat.
Hasil merukyah Awal Bulan Syawal pada petang kelmarin telah diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei setelah mendapat kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu, sementara menunggu hasil merukyah anak bulan Syawal 1438 Hijrah, majlis keagamaan telah diadakan di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Hadir sama bagi menyerikan majlis keagamaan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Juga hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; pehin-pehin manteri ugama; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Junid; para jemputan khas, ketua-ketua jabatan dan bahagian di KHEU.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara Tarannum oleh Awang Mohd Amirul Husaini bin Moksin dan Awang Mohd Izzuddin bin Norhisham dari Skim Tilawah Al-Quran Remaja, Jabatan Pengajian Islam.
Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil yang diikuti dengan Doa Tahlil dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Ketua Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Suhaimi bin Haji Mohd Noor yang seterusnya mengimamkan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.
Kemudian, mesyuarat juga telah diadakan bagi membincangkan hasil merukyah di Bilik Mesyuarat Menteri Hal Ehwal Ugama, KHEU yang dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Ketua Hakim Syarie yang mengesahkan hasil rukyah anak bulan Syawal daripada rombongan di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.
Tempat-tempat yang telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Syawal adalah di Menara DST, Bangunan Ibu Pejabat DST, Lebuh raya Tungku; Bukit Agok, Jerudong; Tanjung Batu, Pekan Muara; Bukit Ambok, Daerah Tutong dan Bukit Lumut, Daerah Belait.
Berikutan bulan Syawal telah tidak berhasil dilihat maka bulan Ramadan digenapkan 30 hari, solat Terawih dan Witir di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara masih berjalan seperti sebelumnya dan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada 26 Jun 2017 Masihi mulai jam 7:30 pagi di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.