Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Negara Brunei Darussalam akan menyambut 1 Syawal pada hari Isnin, 31 Mac setelah hasil merukyah anak bulan Syawal di beberapa tempat yang ditetapkan semalam, telah berhasil dilihat.
Hasil merukyah awal bulan Syawal pada petang tadi telah diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei setelah mendapat kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu pengumuman berkenaan dimaklumkan petang tadi oleh Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, setelah bersidang di Bilik As‘syura, Tingkat 1, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengenai hasil merukyah anak bulan Syawal 1446 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Persidangan juga dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan MUIB.
Terdahulu, Acara Keagamaan bagi Menunggu Hasil Merukyah Awal Bulan Syawal 1446 Hijrah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, KHEU.




Acara dimulakan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh pelajar Tahun 11, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Ihtifazhuddin bin Suhaili.
Acara kemudian diikuti dengan tazkirah Syawal disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, KHEU, Awang Muhammad Nasyith bin Haji Superi.
Seterusnya, bacaan Tahlil dan Doa Arwah oleh Ketua Pemantau Zon 3, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Amin bin Haji Salim, yang kemudiannya mengimamkan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.
Sehubungan dengan itu, sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri adalah pada hari Isnin, 1 Syawal 1446 Hijrah bersamaan 31 Mac 2025 Masihi di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pukul 7:30 pagi.