Thursday, May 8, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sedang alami cuaca panas melampau

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam tempoh peralihan monsun di mana sepanjang tempoh itu, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan untuk memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita.

    Sejak 5 Mei, Negara Brunei Daryssalam telah mengalami cuaca panas melampau di beberapa buah kawasan negara pada waktu siang dengan suhu maksimum harian telah direkodkan di beberapa stesen pencerapan telah mencapai 35 darjah Selsius atau lebih, selama 3 hari berturut-turut kebelakangan ini.

    Pada 6 Mei 2025, terdapat tiga buah kawasan telah merekodkan keadaan cuaca panas melampau iaitu Labi, Lakiun dan Anggerek Desa, manakala lima buah kawasan lain telah merekodkan suhu cuaca panas luar biasa iaitu Bandar Seri Begawan, Lumapas, Sinaut, Benutan dan Bangar.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), di sini, menyatakan berdasarkan ramalan cuaca berangka terkini, keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan berterusan panas dan kering dengan pengurangan jumlah dan aktiviti hujan bagi beberapa hari yang akan datang.

    Suhu maksimum harian dijangka boleh mencecah antara 35 darjah Selsius hingga 37 darjah Selsius.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan keselamatan berkaitan dengan keadaan cuaca panas dan kering yang diramalkan berlaku.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam telah menyediakan catatan suhu maksimum harian dan juga suhu yang dirasakan bagi beberapa kawasan dalam negara dengan menggunakan infografik yang dikongsi melalui media sosial BDMD untuk makluman dan rujukan orang ramai.

    Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengikuti maklumat cuaca rasmi yang dikeluark oleh jabatan berkenaan melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX dan media-media sosial BDMD iaitu laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather, saluran WhatsApp dan Telegram, Brunei Weather.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn.

    Brunei sedang alami cuaca panas melampau. – Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda