Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei serah pengerusi ADMM kepada Kemboja

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Majlis penyerahan Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) kepada Kerajaan Kemboja sebagai pengerusi ADMM bagi tahun 2022 telah berlangsung secara dalam talian hari ini.

    Majlis penyerahan tersebut diadakan selepas berakhirnya Mesyuarat Retreat ADMM, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-Republik Korea dan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-Australia, dan menandakan berakhirnya Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi sektor pertahanan ASEAN bagi tahun 2021.

    Semasa majlis tersebut, Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi ADMM 2021, dalam ucapan penyerahan telah menekankan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan serta Penyerahan Pengerusi ASEAN bahawa pembinaan Komuniti ASEAN adalah satu proses yang berterusan, oleh itu adalah penting bagi negara-negara ASEAN untuk terus komited dalam mengukuhkan multilateral dan rangka kerja kerjasama serantau yang kukuh untuk meraih kemajuan yang bermakna untuk masa hadapan.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh menteri-menteri pertahanan ASEAN dalam memastikan kejayaan semua mesyuarat pertahanan ASEAN, dan mengimbas kembali dalam memberi pengiktirafan kepada pencapaian ADMM sejak 15 tahun penubuhannya.

    Sebuah tayangan video mengenai kepengerusian ADMM turut ditayangkan dengan memaparkan kerjasama pertahanan serantau yang berterusan dalam kalangan negara-negara ASEAN selama 15 tahun dan penghargaan pengerusi ADMM dalam memastikan ADMM terus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau melalui usaha-usaha kolektif.

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja, Tuan Yang Terutama Jeneral Samdech Pichey Sena Tea Banh, turut menyampaikan ucapan beliau sebagai pengerusi ADMM bagi tahun 2022 setelah mengambil alih pengerusian tersebut di mana beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Negara Brunei Darussalam atas kejayaan sebagai pengerusi ADMM dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, yang membawa tema We Care, We Prepare, We Prosper.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri majlis penyerahan pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) kepada kerajaan Kemboja bagi tahun 2022 secara dalam talian kelmarin.- Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda