Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Seramai 12 orang ahli gabungan peminat-peminat basikal lipat dari Negara Brunei Darussalam telah menyertai acara Agro Ride HPPNK 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.
Rombongan berkenaan yang diketuai oleh Haji Abdul Rahman bin Sabar dan Awang Zainal bin Haji Jumat, telah menyertai kayuhan sejauh 14 kilometer yang dianjurkan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025.
Menariknya, para peserta dari Brunei yang ikut serta dalam kayuhan tersebut terdiri daripada golongan veteran, termasuk seorang peserta yang berumur 73 tahun serta masih aktif berbasikal dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.
Penyertaan dalam acara tersebut adalah secara percuma, di mana setiap peserta menerima sepasang baju khas, pingat penyertaan serta makanan dan minuman ringan yang turut disediakan oleh pihak penganjur.
Menurut penganjur, acara itu bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal, tetapi juga sebagai platform untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara peserta dari kedua-dua negara iaitu Brunei dan Sabah.
Penyertaan dari Brunei itu turut mencerminkan semangat serantau dalam menyokong inisiatif kesihatan, komuniti dan kerjasama dua hala menerusi sukan rekreasi.


