Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sertai AMMS ke-8 perkukuh kerjasama sukan ASEAN

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Sukan Kali Ke-8 (AMMS-8) menjadi wadah penting bagi ASEAN dan pihak-pihak berkepentingan dalam bidang sukan untuk bertukar pandangan, membincangkan dasar serta memperkukuhkan kerjasama ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN yang aktif dan bersatu padu.

    Mesyuarat yang berlangsung dari 16 hingga 17 Oktober 2025 di Ha Noi, Viet Nam itu turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohammad.

    YB Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Sukan Kali Ke-8 (AMMS-8), di Ha Noi, Viet Nam, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Viet Nam, Tuan Yang Terutama Nguyen Van Hung, serta dihadiri oleh para Menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam hal ehwal sukan dan wakil masing-masing, bersama Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio-Budaya (ASCC). Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.

    Para Menteri mengiktiraf kejayaan pelaksanaan Rancangan Kerja ASEAN Mengenai Sukan 2021–2025 dalam memperkasa kesedaran, budaya dan perpaduan ASEAN melalui pelbagai inisiatif sukan serantau.

    Mereka turut menghargai kemajuan yang dicapai di bawah Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Mengenai Sukan (SOMS) serta sumbangan daripada Negara-Negara Anggota ASEAN, Rakan Dialog dan institusi rakan kerjasama.

    Mesyuarat juga menegaskan bahawa kerjasama dalam bidang sukan terus menyokong ‘Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan Pelan Induk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN’.

    Dalam menggariskan wawasan Brunei Darussalam bagi Rancangan Kerja Sukan ASEAN 2026–2030, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi menzahirkan sokongan Brunei Darussalam terhadap tujuh bidang keutamaan yang dicadangkan, serta menekankan kesesuaiannya dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    GAMBAR SERAHAN KKBS

    Yang Berhormat turut menekankan kepentingan diplomasi sukan dalam memperkukuhkan persahabatan, perpaduan dan identiti bersama ASEAN, di samping menyeru agar aspek perlindungan dan integriti dalam dasar sukan turut diberi penekanan bagi memastikan penyertaan yang selamat, inklusif dan beretika, khususnya bagi golongan belia, wanita dan orang kelainan upaya (OKU).

    Susulan AMMS-8, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Campur Jepun Mengenai Sukan Kali Ke-5 turut diadakan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Viet Nam serta Pesuruhjaya Agensi Sukan Jepun, Tuan Junichi Kawai. Mesyuarat tersebut mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pertukaran sukan, latihan dan penglibatan belia.

    Sementara itu, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Campur China Mengenai Sukan Kali Ke-2 turut berlangsung, dipengerusikan bersama oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Viet Nam dan Timbalan Menteri Sukan, Pentadbiran Am Sukan China, Tuan Li Jing.

    Mesyuarat berkenaan menegaskan hasrat bersama untuk meningkatkan pembangunan kapasiti serta memupuk program kerjasama dalam pembangunan sukan, yang menyumbang kepada perpaduan serantau dan pengukuhan hubungan rakyat dengan rakyat melalui sukan.

    Hadir bersama Yang Berhormat Dato ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda