Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sertai Ekspo Pelancongan Jepun 2024

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Negara Brunei Darussalam akan menyertai Ekspo Pelancongan Jepun 2024 sekali lagi yang bakal berlangsung di salah sebuah tempat pameran terbesar di Jepun, Tokyo Big Sight pada 26 hingga 29 September.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan menyatakan bahawa Ekspo Pelancongan Jepun terkenal kerana mampu menarik kira-kira 150,000 orang pengunjung dalam edisi lalu, akan mengetengahkan pameran daripada lebih 150 buah negara dan rantau pada tahun ini.

    Acara empat hari itu merangkumi dua hari yang dikhaskan bagi perjumpaan perniagaan-dengan-perniagaan (B2B), memudahkan rangkaian profesional diikuti dengan dua hari terbuka kepada orang ramai, menawarkan peserta pameran peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelancong berpotensi.

    Ekspo itu merupakan sebuah platform bagi lembaga-lembaga pelancongan antarabangsa, syarikat-syarikat pelancongan dan profesional hospitaliti untuk berhubung, menggalakkan kolaborasi antara sektor swasta dan awam bagi memupuk pertumbuhan dalam pelancongan serta mempromosi ekonomi serantau.

    Dalam usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama dan membina kerjasama baharu, Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan sokongan Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo, akan menghoskan seminar bagi kira-kira 50 wakil industri pelancongan Jepun termasuk ejen-ejen pelancongan, universiti-universiti dan agensi media.

    Orang ramai mengunjungi petak Brunei Darussalam semasa Ekspo Pelancongan Jepun 2024 di Tokyo Big Sight. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    Seminar itu akan menawarkan maklumat berharga mengenai pemasaran tarikan unik Brunei bermatlamat menggalakkan lebih ramai pelancong Jepun untuk meneroka Negara Brunei Darussalam.

    Menyertai Jabatan Kemajuan Pelancongan di Ekspo Pelancongan Jepun adalah delegasi terdiri daripada tujuh agensi tempatan termasuk hotel-hotel, ejen-ejen pelancongan dan syarikat penerbangan kebangsaan Brunei.

    Di samping itu, penghibur kebudayaan dari Brunei akan mengetengahkan warisan kaya Brunei dengan menawarkan para pengunjung pandangan sepintas lalu ke dalam tradisi dan budaya Negara Brunei Darussalam.

    Penyertaan negara dalam ekspo kali ini membina atas kejayaan usaha promosi yang dilancarkan selepas Ekspo Pelancongan Jepun 2023. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan termasuk lawatan suai kenal bagi ejen-ejen pelancongan Jepun yang khusus dalam pelancongan pendidikan, bersama wakil-wakil dari Japan School Trip Bureau.

    Selain itu, tiga pempengaruh media sosial Jepun juga telah melawat Brunei di mana mereka mengongsi pengalaman unik mereka dengan para pengikut masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda