Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sertai ICC, perkasa peranan Belia Koperasi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Brunei Darussalam telah menunjukkan komitmen berterusan dalam memperkasakan gerakan koperasi serta memperkukuh kepimpinan belia melalui penyertaan dalam Persidangan Koperasi Antarabangsa (International Cooperative Conference – ICC 2025) telah diadakan di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia baru-baru ini.

    Persidangan yang bertemakan Youth for Cooperative Future itu telah menghimpunkan lebih daripada 150 peserta dari seluruh dunia, termasuk dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Poland, Jepun, Sepanyol, Filipina, Thailand, India, Jordan dan negara-negara lain.

    Ia menjadi platform penting bagi para perwakilan, pembuat dasar, pemimpin industri serta penggiat koperasi untuk berkongsi idea, bertukar pengalaman, dan meneroka strategi baharu dalam memperkasakan peranan belia sebagai peneraju masa depan sektor koperasi global.

    Penyertaan Brunei dalam platform berprestij ini mencerminkan dedikasi negara dalam memupuk inovasi yang diterajui oleh belia, kelestarian, dan daya tahan ekonomi dalam ekosistem koperasi negara.

    Gambar serahan Persidangan Koperasi Antarabangsa

    Delegasi Brunei terdiri daripada Penyelia Koperasi Dayang Nur Athilah binti Abu Bakar dari Unit Pembangunan Koperasi (UPK), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Mohamad Fathullah bin Mohamad Taib dari Koperasi Kampong Perpindahan Mata-Mata (KOPERMATA) Berhad, serta Haji Khairul Hazmi bin Haji Zaini dan Mohammad Syazwan bin Sauni dari Koperasi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (KOPDPPMB) Berhad.

    Sepanjang persidangan, para perwakilan terlibat dalam siri sesi ucaptama, perbincangan panel dan forum kerjasama yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, penjenamaan strategik, inovasi dalam model perniagaan koperasi serta penggubalan dasar yang menyokong penyertaan belia.

    Persidangan ini juga memberi peluang kepada perwakilan Brunei untuk menjalin rangkaian dengan rakan serantau dan antarabangsa, meneroka potensi kerjasama baharu serta berkongsi amalan terbaik dalam memperkukuh perniagaan koperasi dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif.

    Penyertaan aktif Brunei dalam ICC 2025 menegaskan fokus strategik negara dalam memperdayakan generasi baharu pemimpin koperasi serta menyerlahkan visinya ke arah membina sektor koperasi yang dinamik, berdaya tahan dan mampan selaras dengan keutamaan pembangunan negara serta tren global.

    Atas & Bawah: antara peserta yang menghadiri Persidangan Koperasi Antarabangsa 2025.
    Gambar serahan Persidangan Koperasi Antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda