Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sertai kejuaraan Terengganu

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Dua pelumba boat laju Brunei Darussalam akan menyertai Perlumbaan F3000 International Powerboat Championship yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Ogos di Terengganu, Malaysia.

    Penyertaan dua pelumba negara di kejohanan itu adalah yang pertama kali menampilkan Haji Nordin bin Haji Mohamad dan Mohd Yusrin bin Haji Ramlee, manakala kedua-dua mereka akan dibantu dua jururadio iaitu Zailan bin Zaini dan Haji Ramlee bin Haji Mohd Yassin.

    Sehubungan dengan itu, berlangsungnya Majlis Penyerahan Bendera Negara di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hadir menyerahkan bendera negara ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan Haji Azahar bin Haji Adenan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam, Hajah Siti Aisah binti Haji Abdul Jalil kelmarin.

    Di dalam temu bual bersama Hajah Siti Aisah, menurutnya ini adalah penyertaan kali pertama di Terengganu Malaysia kerana sebelum ini pelumba-pelumba Brunei kebanyakannya berlumba di Borneo. Namun begitu, pelumba Haji Nordin pula pernah terlibat dalam perlumbaan F1H2o Nations Cup di Singapura dan di Emiriah Arab Bersatu.

    Haji Azhar ketika menyerahkan bendera negara kepada setiausaha agung Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam di majlis tersebut.

    “Pastinya kami membuat sasaran untuk mendapat kejayaan, namun setakat ini kami belum dapat menjanjikan sebarang pencapaian meskipun kami komited untuk mencuba sedaya upaya memberikan saingan kepada peserta lain di dalam perlumbaan nanti,” ujarnya.

    Menurutnya bot laju akan disewa daripada pihak penganjur dan dihasratkan semua perjalanan dan penyertaan akan berjalan lancar ketika berada di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia itu nanti.

    “Diharapkan para peserta negara akan memberi saingan yang terbaik dan seterusnya membawa kemenangan, selain akan menunjukkan semangat kesukanan dan keyakinan yang tinggi, Insya Allah kita boleh berjaya,” ujar Hajah Aisah lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda