Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, telah menghadiri Pertemuan Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-21 yang diadakan di Melaka, Malaysia, baru-baru ini.
Pertemuan berkenaan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Malaysia, Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.
Turut hadir, Menteri Agama Republik Indonesia, Yang Terhormat Prof. Dr. Nasaruddin Umar, M.A.; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Yang Berhormat Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim; serta Menteri Kanan, Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kerajaan Kemboja selaku negara pemerhati, Yang Berhormat Neak Okhna Datuk Dr. Othsman Hassan.

Selain Pertemuan MABIMS Kali Ke-21 dan Mesyuarat SOM Kali Ke-49, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk Forum Perdana Ehwal Islam Serantau, Program Komuniti ‘Semanis MABIMS, Seharum Serantau’, Melaka International Halal Festival (MIHF’25), MABIMS Halal Summit 2025, dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal MABIMS.
Dalam kesempatan tersebut, MABIMS turut melancarkan Rancangan Strategik (RS) MABIMS 2026–2030 yang memperbaharui RS MABIMS 2021–2025.
RS baharu ini menegaskan komitmen negara anggota untuk memperkukuh pelaksanaan dasar, pengurusan institusi agama, penyelarasan takwim hijri serta pembangunan sistem pengurusan halal yang lebih efisien dan inovatif.
Kejayaan sebelum ini adalah hasil daripada kerjasama erat antara negara anggota MABIMS, yang terus menjadi platform penting dalam memperkasa pentadbiran hal ehwal Islam di rantau ini.

RS MABIMS 2026–2030 bukan sahaja berperanan sebagai panduan, tetapi juga rujukan dalam pelaksanaan program-program serantau.
Penganjuran MABIMS Kali Ke-21 akan terus memperkukuh sinergi dan perpaduan serantau demi kesejahteraan ummah serta masa depan yang lebih gemilang.
Negara anggota turut menzahirkan komitmen untuk memastikan platform MABIMS kekal relevan, dinamik dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global, seterusnya menjadi contoh terbaik kerjasama Islam serantau.
Pertemuan MABIMS Kali Ke-22 dijadualkan akan diadakan di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2027.
Turut menyertai rombongan Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, selaku Ketua SOM Negara Brunei Darussalam, bersama pegawai-pegawai Sekretariat MABIMS Negara Brunei Darussalam.

