Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sertai mesyuarat kesihatan Rantau Pasifik Barat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan disertai beberapa pegawai kanan kementerian telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Serantau bagi Rantau Pasifik Barat Ke-75 yang berlangsung di Manila, Republik Filipina pada 21 Oktober hingga 25 Oktober.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, menyatakan pada pembukaan mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham selaku Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Serantau bagi Rantau Pasifik Barat Ke-74 telah memberikan ucapan dan melaporkan pencapaian sepanjang tempoh beliau mempengerusikan jawatankuasa berkenaan.

    Antaranya termasuk kelulusan Rangka Kerja Tindakan Keselamatan Kesihatan Asia Pasifik (APHSAF), yang mana, rangka kerja berkenaan mempraktikkan pendekatan pelbagai hala, ancaman dan sektor serta menyatukan negara-negara, rakan kongsi dan pihak berkepentingan dalam tindakan kolektif untuk mengukuhkan kapasiti bagi memudahkan pelaksanaan Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa.

    Mesyuarat tersebut turut membincangkan isu-isu kesihatan semasa, dasar-dasar, program-program dan hala tuju masa depan WHO bagi Rantau Pasifik Barat (WPR), termasuk penelitian peruntukan program dan pelaksanaan projek-projek, pemantauan perkembangan isu-isu kesihatan dan projek-projek mengikut keutamaan serta penyelarasan kerja-kerja yang dijalankan di rantau ini.

    Pada Mesyuarat Ke-75 pada tahun ini, isu-isu teknikal yang diketengahkan antara lain adalah meneliti ketahanan kemudahan penjagaan kesihatan terhadap perubahan iklim, menerokai penjagaan kesihatan asasi yang transformatif dan kaedah-kaedah dalam memperkukuh kesihatan oral.

    Selain itu, isu dasar, pentadbiran dan pengurusan pembiayaan kesihatan dan kesihatan digital serta penelitian laporan pelaksanaan peruntukan program tahun 2022-2023 dan peruntukan program tahun 2026-2027 dan laporan kemajuan bagi program-program teknikal yang lain juga dibentangkan.

    Pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham telah mengalu-alukan sokongan kepada visi Pengarah Serantau iaitu Weaving Health for Families, Communities and Societies in the Western Pacific Region, yang mana adalah selari dengan pelan strategi Kementerian Kesihatan yang baru dengan memfokuskan kepada kecemerlangan penjagaan kesihatan, pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit, dan perlindungan kesihatan awam.

    Yang Berhormat Dato mengesyorkan supaya pihak WHO meneruskan kerjasama dengan memberi bantuan teknikal kepada negara-negara ahli. Kementerian Kesihatan juga komited dalam pembangunan tenaga kerja kesihatan ke arah yang berkemahiran dan berkualiti, dan seterusnya mengalu-alukan isu kedayatahanan dan kemampanan iklim dalam strategi lima tahun WPR berkenaan.

    Semasa di sana, Yang Berhormat Dato telah berkesempatan mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Kesihatan Republik Filipina, Yang Berhormat Dr Teodoro Herbosa khususnya bagi membincangkan serta bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor kesihatan di negara masing-masing serta meninjau bagi pelaksanaan kerjasama dalam bidang kesihatan antara kedua-dua buah negara.

    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapan pada mesyuarat berkenaan. 
    Gambar ramai YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan yang menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda