Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, telah menghadiri Pameran Pertahanan & Keselamatan 2025, yang berlangsung di IMPACT Exhibition & Convention Centre, Muang Thong Thani, Bangkok, Thailand, hari ini hingga 13 November.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, rombongan Kementerian Pertahanan ke pameran berkenaan disertai oleh Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigadier Jeneral Aldi bin Haji Hassan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.
Pameran Pertahanan & Keselamatan 2025, yang kini memasuki edisi ke-12, kekal sebagai salah sebuah platform pertahanan tiga angkatan dan keselamatan dalaman terunggul di rantau ASEAN dan keselamatan dalaman ASEAN.
Berteraskan tema The Power of Partnership, acara itu menghimpunkan pihak berkepentingan pertahanan dan keselamatan global, termasuk menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri pertahanan dan pemerintah-pemerintah angkatan tentera, untuk mengukuhkan kerjasama, berkongsi kepakaran dan memperdalamkan penglibatan industri.
Dengan sokongan Kementerian Pertahanan Thailand dan Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, edisi 2025, menghimpunkan sebanyak 617 syarikat pameran, 25 pavilion negara dan 289 delegasi serta pembuat keputusan utama dari 35 buah negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama untuk kerjasama industri dan dialog strategik.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral Nattaphon Narkphanit serta mengucapkan tahniah atas kejayaan menganjurkan Pameran Pertahanan & Keselamatan 2025 dan membincangkan perkara-perkara strategik dan serantau yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua menteri juga menzahirkan hubungan pertahanan yang terjalin erat antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand serta menegaskan komitmen bersama untuk terus memperkukuhkan kerjasama pertahanan.





