Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sertai persidangan keselamatan siber ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan siber, telah mewakili Negara Brunei Darussalam pada Persidangan Menteri-menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber (AMCC) ke-9 sempena Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) ke-9 di Republik Singapura, baru-baru ini.

    Dengan tema Amanah dan Keselamatan dalam Era Digital, SICW ke-9 telah dirasmikan oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean.

    Pada pembukaan pleno, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengambil bahagian sebagai ahli panel semasa sesi Panel Peringkat Tinggi mengenai Global Digital Governance: Promise atau Pipedream?.

    Yang Berhormat Dato telah berkongsi perspektif Negara Brunei Darussalam tentang mengemudi kerumitan dasar digital global, selain menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mencapai tadbir urus digital yang saksama dan inklusif. Selain menekankan, potensi risiko penyalahgunaan dan percambahan teknologi digital yang tidak terkawal.

    Manakala pada AMCC ke-9, yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan dan menteri yang bertanggungjawab bagi Negara Pintar dan Keselamatan Siber, Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo, telah menyaksikan menteri-menteri ASEAN melancarkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Serantau ASEAN (CERT).

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary hadir semasa persidangan AMCC ke-9, di Singapura, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    GAMBAR SERAHAN MTIC
    GAMBAR SERAHAN MTIC

    Sementara itu, CERT Serantau ASEAN akan membolehkan penyelarasan tindak balas insiden keselamatan serantau siber yang lebih kukuh dan kerjasama perlindungan infrastruktur maklumat kritikal (CII), termasuk untuk CII rentas sempadan seperti perbankan, kewangan, komunikasi dan pengangkutan.

    Beliau turut menegaskan bahawa pengoperasian CERT Serantau ASEAN sebagai langkah penting dalam usaha ASEAN untuk mengurangkan ancaman siber terutama dengan negara anggota ASEAN yang berhadapan dengan ancaman siber yang semakin kompleks dan didayakan kecerdasan buatan (AI).

    Selain menegaskan, kepentingan Pasukan Petugas CERT Serantau ASEAN dalam menyatukan usaha sedia ada ke buku amalan terbaik untuk dikongsi di seluruh rantau ini.

    Pengajaran dan pengalaman yang diperoleh oleh negara anggota ASEAN selama ini, jelasnya, akan meningkatkan kapasiti dalam insiden dengan tindak balas ketara, pengurusan krisis dan pemulihan selepas kejadian.

    Insiden siber besar baru-baru ini telah memperkukuh keperluan untuk kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara ahli ASEAN, membenarkan tindak balas yang lebih cepat dan berkesan terhadap ancaman, terutama yang merentas sempadan.

    Pendekatan kerjasama itu meliputi Perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal (CIIP), di mana mempromosikan CIIP dalam kalangan CERT negara akan membantu negara anggota ASEAN memenuhi komitmen mereka di bawah Pelan Tindakan Serantau untuk melaksanakan norma keselamatan siber.

    Yang Berhormat Dato turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Digital bagi Malaysia, Tuan Yang Terutama Gobind Singh Deo; Duta Berkelana Amerika Syarikat (AS) untuk Ruang Siber dan Dasar Digital, Tuan Yang Terutama Nathaniel C Fick, dan delegasi daripada Dewan Perniagaan AS.

    Perbincangan tertumpu kepada bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik dalam keselamatan siber, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan serantau semasa, cabaran utama dan bidang kepentingan bersama untuk mengeratkan hubungan dua hala.

    Beliau turut mengetuai lawatan kerja ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Siber ke Persidangan dan Pameran GovWare 2024 dan ke pejabat platform media sosial utama yang berpangkalan di Singapura, termasuk Meta, Microsoft, serta organisasi termasuk Open Government Product Singapore, Autoriti Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan pelbagai syarikat berkaitan keselamatan siber.

    Lawatan tertumpu kepada mewujudkan kerjasama, meningkatkan kapasiti, pengukuhan amalan terbaik dan menangani isu kritikal seperti penipuan dalam talian, penipuan dan ancaman keselamatan siber.

    Rombongan Yang Berhormat Dato terdiri daripada, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pesuruhjaya Interim Keselamatan Siber Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis; dan pegawai kanan dari MTIC.

    Manakala bagi lawatan kerja itu, ianya disertai oleh ahli dan wakil Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Siber yang terdiri daripada pegawai dari Jabatan Perdana Menteri, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan CSB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda