Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Pasukan tenis wanita Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke Vietnam baru-baru ini bagi menyertai pusingan Kumpulan 3 – Asia/Oceania bagi Piala Billie Jean King 2025 di Phan Thiet, Vietnam dari 10 November hingga 15 November.
Ahli pasukan terdiri daripada pemain kebangsaan Chong Ming Rui, Adriana Sim, Eunice Lo dan Megan Lee, dan diketuai oleh Kapten Pasukan dan Jurulatih Kebangsaan, Billy Wong.
Menurut Persatuan Tenis Brunei Darussalam (BDTA), penyertaan Brunei Darussalam dalam BJKC sejak tahun 2022 merupakan satu komitmen untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Penyertaan dalam kejohanan ini bukan sahaja menjadi aspirasi bagi pemain tenis untuk mengenakan warna negara, tetapi juga sebagai usaha berterusan untuk terus berjuang sebagai rakyat Brunei melalui sukan.
Pasukan Negara akan berentap menentang pemain dari negara-negara seperti Bahrain, Bhutan, Guam, Iraq, Jordan, Laos, Macau, Maldives, Myanmar, Nepal, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Sri Lanka, Syria, Tajikistan, Turkmenistan, dan negara tuan rumah, Vietnam.


