Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sokong prinsip Panduan ASEAN

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Delegasi Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha telah menyertai Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi ke-20 (AMMSTI-20) yang diadakan pada 7 Jun.

    Negara Brunei Darussalam turut menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Sains Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-85 (COSTI-85) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang juga berlangsung di Siem Reap, Kemboja pada 4 hingga 6 Jun.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, semasa Mesyuarat AMMSTI-20, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary telah mengongsikan pandangan mengenai peranan penting yang boleh dimainkan oleh kecerdasan buatan (AI) dalam mengemudi masa depan ASEAN serta menekankan mengenai potensi transformatifnya dalam memacu pertumbuhan inovasi dan ekonomi.

    Semasa sesi pertukaran pandangan di mesyuarat itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary telah mengongsikan mengenai pembangunan dan penggunaan AI di Negara Brunei Darussalam.

    Teknologi AI telah digunakan dalam sektor kesihatan untuk menganalisis sejumlah besar data berkaitan kesihatan dan membantu Kementerian Kesihatan membentuk model kesihatan keseluruhan penduduk.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri mesyuarat itu. – Gambar serahan MTIC
    Haji Mohammad Nazri semasa menghadiri Mesyuarat COSTI-85 di Siem Reap, Kemboja, baru-baru ini. – Gambar serahan MTIC

    Usaha itu telah membantu Kementerian Kesihatan dalam membuat keputusan dasar yang bermaklumat dan memastikan perbelanjaan lebih kos efektif.

    Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus AI, yang mengimbangkan antara inovasi dan penggunaan AI yang bertanggungjawab, memastikan sistem AI dibangunkan dan digunakan dalam cara yang sejajar dengan nilai kemasyarakatan, memberikan manfaat kepada masyarakat sambil meminimumkan potensi risiko dan kesan negatif.

    Dalam hal ini, Brunei menyokong dan menyetujui sepenuhnya prinsip-prinsip yang dibentangkan dalam Panduan ASEAN mengenai Tadbir Urus dan Etika AI yang telah diterima pakai semasa Mesyuarat Menteri Digital ASEAN ke-4 pada Februari 2024. Dengan merujuk kepada dokumen ASEAN itu, Negara Brunei Darussalam sedang menggubal garis panduan negara sendiri dan sedang berusaha menyediakan Rangka Kerja Strategi AI yang akan menstrukturkan program sedia ada dan inisiatif baharu untuk menyokong pembangunan AI.

    Ia termasuk penyediaan undang-undang pendukung, pembangunan infrastruktur pemboleh, penyelidikan dan inovasi, serta pembangunan tenaga kerja dan program kesedaran menyeluruh. Mesyuarat AMMSTI-20 telah dipengerusikan oleh Menteri Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MISTI), Kemboja, Tuan Yang Terutama Hem Vanndy.

    Hasil daripada mesyuarat itu antara lainnya adalah pengesahan laporan COSTI-85 termasuk status pelaksanaan 2024 Priority Economic Deliverable (PED) dan projek-projek keutamaan tahunan (AP) di bawah sektor sains, teknologi dan inovasi (STI). Laporan juga mengetengahkan mengenai permulaan kerja asas penyediaan Pelan Tindakan ASEAN Sains, Teknologi, dan Inovasi (APASTI) 2026-2035, yang dijangka akan dilaporkan semasa AMMSTI-21 serta pengesahan satu PED bagi tahun 2025 di bawah sektor STI, bertajuk Establishing ASEAN Technology Startup Ignite.

    Di samping itu, ia juga menekankan kepada pelancaran ASEAN COSTI Tracks on AI (ACT on AI) 2024-2025 semasa acara pembukaan Mesyuarat AMMSTI-20, iaitu lima projek berkaitan AI yang disokong oleh rakan dialog yang akan lebih memperkukuhkan ASEAN sebagai pemain yang kompetitif dalam landskap AI di dunia.

    Mesyuarat AMMSTI-20 didahului oleh Mesyuarat COSTI-85 dan mesyuarat berkaitan yang telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, selaku Pengerusi Negara Brunei Darussalam bagi ASEAN COSTI.

    Ia telah dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Negara, Kementerian Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MISTI), Kemboja, Dr Hul Seingheng.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda