Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei sokong usaha memperkasa belia serantau

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Belia ASEAN kali ke-14 (ASEAN SOMY) dan ASEAN SOMY+3 ke-13 telah bersidang baru-baru ini di Manila, Filipina.

    ASEAN SOMY ke-14 telah bersidang pada 28 April lalu dan dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Belia Besar Negara, Filipina, Michelle Mae Gonzales. Manakala ASEAN SOMY+3 ke-13 bersidang kelmarin yang dipengerusikan bersama oleh Michelle Mae Gonzales dan Pengarah bagi Pertukaran Belia Antarabangsa, Jepun, Fujimori.

    Mewakili Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat berkenaan ialah, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin dan para pegawai-pegawai kanan ASEAN atau wakil yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia dan perwakilan peringkat tinggi serta Timbalan Setiausaha Agung Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).

    ASEAN SOMY ke-14 dan ASEAN SOMY +3 ke-13 adalah platform untuk pegawai-pegawai kanan ASEAN dan perwakilan peringkat tinggi serta pihak berkepentingan yang berkaitan dalam bidang hal ehwal belia untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan kerjasama ke arah memperkasa belia ASEAN dalam usaha membangun komuniti ASEAN selaras dengan kenyataan pemimpin ASEAN mengenai pembangunan komuniti ASEAN pasca-2025.

    Para pegawai-pegawai kanan belia ASEAN mengambil maklum perkembangan dan pencapaian pelaksanaan Pelan Kerja Belia ASEAN 2021-2025 dan menekankan peningkatan usaha dan inisiatif dalam memperkukuhkan komunikasi interaktif daripada pihak belia ASEAN.

    Sesi bergambar ramai semasa persidangan berkenaan yang diadakan di Manila, Filipina baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Pegawai kanan belia ASEAN juga mengambil maklum mengenai dengan kemaskini status pengendalian Kajian Penggal Akhir Pelan Kerja Belia 2021-2025 dan impak kepada pembangunan dan pemerkasaan belia di rantau ini serta membincangkan bidang keutamaan rancangan Kerja ASEAN Pasca 2025.

    Mesyuarat juga meneruskan sokongan padu kepada organisasi-organisasi belia ASEAN untuk melaksanakan program-program pembangunan belia yang diselaraskan dengan bidang keutamaan Pelan Kerja Belia 2021-2025 iaitu pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan, peluang dan pekerjaan, penglibatan belia, kesedaran mengenai ASEAN serta nilai dan identiti.

    Mesyuarat juga merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh rakan dialog, organisasi-organisasi belia ASEAN dan rakan dialog ASEAN dalam pelaksanaan Pelan Kerja Belia Campur Tiga ASEAN 2021-2025, yang melengkapkan Pelan Kerja Belia ASEAN 2021-2025, dalam memperkasakan belia ASEAN dan menyumbang ke arah mengukuhkan persahabatan, perpaduan dan kerjasama dengan belia bersama rakan dialog.

    ASEAN SOMY ke-14 dan ASEAN SOMY+3 ke-13 telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan ASEAN dan negara Campur Tiga yang bertanggungjawab terhadap belia, rakan kongsi dan pertubuhan perwakilan peringkat tinggi seperti Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC), Persidangan Serantau Institut ASEAN mengenai Keamanan dan Perdamaian (ASEAN-IPR), Yayasan ASEAN, Forum Belia ASEAN, Pertubuhan Belia ASEAN dan Politeknik Singapura.

    Brunei Darussalam juga berkesempatan untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan negara Jepun bagi membincangkan perlaksanaan program pertukaran belia ASEAN Jepun dan juga cadangan program kerjasama Jepun-Brunei Darussalam dalam hal ehwal Belia.

    Turut hadir, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi serta pegawai dari KKBS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda