Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura khususnya dalam bidang pendidikan menjadi tumpuan semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Heng Swee Keat ke Pusat Penyelidikan Botani Universiti Brunei Darussalam (UBD BRC), hari ini.
Hadir mengalu-alukan TYT Heng Swee Keat serta rombongan di UBD ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri Haji Kifle.
Semasa lawatan itu, TYT Heng Swee Keat diberikan taklimat mengenai projek kerjasama penyelidikan di antara Institut bagi Biodiversiti dan Penyelidikan Alam Sekitar (IBER), UBD dan institusi-institusi pendidikan di Singapura.
Antara projek penyelidikan yang diketengahkan semasa lawatan tersebut ialah kerjasama dengan Singapore-MIT Alliance for Research and Technology (SMART), Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS) bagi penyelidikan ekologi paya gambut di Brunei Darussalam.
Projek kerjasama itu menumpukan pada penerokaan hutan paya gambut Brunei, flora dan fauna unik baharu, menilai diversiti, ekologi dan fungsi ekosistem yang terancam.
Projek Penanaman Pokok Badas merupakan projek penghutanan semula jangka panjang yang kini dalam tahun ketiganya turut ditengahkan semasa lawatan berkenaan.
Projek itu memanfaatkan pendekatan sains masyarakat dalam pemulihan kawasan-kawasan terdegradasi di kawasan gambut Badas menggunakan pokok Shorea albida, iaitu spesies pokok endemik Borneo.
Satu lagi projek yang menjadi tumpuan ialah kerjasama genomik biodiversiti bersama di antara IBER dan SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) di mana program itu dikendalikan untuk mendapatkan keluaran yang relevan kepada pemuliharaan dan bagi memahami profil genomik flora dan fauna di Brunei Darussalam dan Singapura.
Projek Penyelidikan Burung Enggang Brunei Darussalam turut diketengahkan di mana ia merupakan kolaborasi dengan BirdLife International Singapore, Mandai Nature Singapore dan organisasi antarabangsa dan tempatan.
Penyelidikan itu memberi tumpuan kepada lapan spesies burung enggang di Brunei Darussalam dan menilai ciri-ciri ekologi dengan matlamat untuk membantu pemuliharaan spesies tersebut.
Satu lagi projek yang diketengahkan ialah kajian ikan-ikan air tawar di Ulu Temburong yang merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan bersama dengan Lee Kong Chian Natural History Museum di NUS.
Semasa lawatan, TYT Heng Swee Keat juga menanam sepohon pokok durio graveolens becc, durian otak udang galah, iaitu pokok asli di hutan hujan Borneo termasuk Brunei dan menonjol dengan warna isi buahnya merah atau jingga.
Durio graveolens mempunyai kepentingan budaya di Brunei dan sering menonjol di pasar tempatan dan semasa perhimpuan perayaan, yang mencerminkan peranan pentingnya dalam amalan kulinari serta identiti kebudayaan Brunei.