Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kerjasama Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Republik Singapura dan Agensi Makanan Singapura (SFA), akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bersama bagi penubuhan sebuah Zon Makanan Agroteknologi Brunei-Singapura (ATFZ).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOFE, ATFZ itu merupakan hasil utama perbincangan bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong semasa menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Negara Brunei Darussalam dan Singapura kali ke-11.
ATFZ itu juga merupakan salah satu usaha strategik di bawah memorandum-memorandum persefahaman antara kedua-dua buah negara yang telah ditandatangani sebelum ini bagi memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi dan agromakanan.
ATFZ berkenaan bermatlamat untuk meningkatkan kedayatahanan bekalan makanan bagi kedua-dua buah negara, memudah cara pelaburan bernilai tinggi dalam sektor agromakanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan membina keupayaan tempatan, menggalakkan inovasi dalam agroteknologi serta menjadikan Brunei dan Singapura sebagai peneraju dalam pengeluaran agromakanan yang mampan dan berasaskan teknologi di rantau ini.
Inisiatif itu akan memanfaatkan kelebihan strategik Brunei dari segi ketersediaan tanah dalam menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi negara, kepakaran Singapura dalam bidang agroteknologi dan pengawalseliaan serta keterhubungan pasaran negara berkenaan.
ATFZ dijangka dapat menyokong pembangunan ekosistem agri-makanan yang berdaya saing bagi penghasilan, pemprosesan dan pengeksportan produk makanan berkualiti tinggi ke pasaran serantau dan antarabangsa.
Kajian bersama itu akan dilaksanakan dengan penglibatan agensi-agensi berkepentingan termasuk Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) dan lain-lain.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua buah negara dalam mempererat kerjasama dan hubungan dua hala yang telah lama terjalin, khususnya dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan dan kedayatahanan perdagangan dalam sektor agromakanan.

