Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Walaupun tidak banyak persiapan yang dibuat untuk menentang pasukan Sri Lanka, namun Jurulatih Bola Sepak Kebangsaan Brunei, Rui Jose Capela Batista percaya terhadap kebolehan pemain pasukan kebangsaan Brunei akan memberi saingan yang baik.
Pada sidang media di Bilik Media, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini, beliau berkata bahawa pasukan Brunei sudah bersedia untuk bertemu dengan pasukan bola sepak Sri Lanka pada perlawanan persahabatan antarabangsa sempena Hari FIFA, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 8 dan 11 Jun.
Beliau turut mengakui bahawa perlawanan itu nanti akan menjadi cabaran kepada pemain-pemain dan dengan persiapan yang telah dijalankan, pasukan pasti akan memberikan perlawanan yang menarik.
“Perlawanan dijangka akan lebih menarik dan mencabar kerana pasukan Sri Lanka mempunyai pemain yang memiliki kelebihan tersendiri ditambah dengan jurulatih yang berpengalaman dalam memimpin pasukan.


“Namun, saya yakin semua pemain akan dapat memberikan persaingan kepada pasukan lawan,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sri Lanka, Andy Morrison pula mengakui pasukannya akan memberikan saingan kepada pasukan tuan rumah sekalipun kehilangan beberapa pemain utama.
“Dengan persiapan yang rapi menerusi gabungan pemain baharu dan senior, perlawanan antarabangsa ini juga pasti akan lebih menarik dan mendebarkan dengan penampilan corak pemain Sri Lanka yang berpotensi.
“Perlawanan itu juga memberi peluang terbaik kepada pemain sebagai persiapan pasukan Sri Lanka bagi perlawanan kelayakan pada bulan September dan perlawanan antarabangsa yang lebih mencabar tahun hadapan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta FIFA,” tambahnya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Kapten Pasukan Brunei, Awang Azwan Ali Rahman dan Kapten Sri Lanka, Sujan Perera.

