Wednesday, January 22, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei Startup Summit 2025 perkasa syarikat pemula

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) mempunyai misi untuk memacu kepelbagaian dan pertumbuhan ekonomi dengan memupuk sebuah ekosistem keusahawanan yang mantap.

    Dalam hubungan itu, BEDB berasa amat bangga untuk menyokong inisiatif seperti Brunei Startup Summit yang memperkasa syarikat pemula untuk berinovasi, berkembang dan menyumbang kepada ekonomi Brunei.

    Selama ini, BEDB telah memainkan peranan penting dalam menghubungkan peluang-peluang antara usahawan, pelabur dan penggubal dasar untuk meningkatkan lagi landskap perniagaan.

    Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Daniel Leong dalam ucapan alu-aluannya di Brunei Startup Summit 2025 (BSS) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Beliau menyatakan bahawa BSS 2025 dengan tema Rise and Thrive: Building Scalable, Resilient Startups and Fostering Collaboration mencerminkan keperluan yang berkembang dalam landskap keusahawanan negara.

    Ia juga merupakan seruan untuk bertindak bagi syarikat-syarikat pemula untuk menyesuaikan diri dan mengatasi cabaran-cabaran sekali gus mengembangkan operasi mereka serta menjana kesan yang bermakna di dalam negara dan global.

    Pada asasnya, jelas Daniel Leong lagi, BSS mempunyai 4 prinsip bimbingan utama yang membentuk pendekatan dan matlamat mereka untuk memperkasa syarikat pemula di mana misi mereka adalah untuk menyediakan peralatan, kemahiran dan pandangan yang diperlukan untuk membantu syarikat pemula mengemudi serta maju dalam pasaran-pasaran kompetitif.

    Ia juga memupuk kedayatahanan di mana dalam dunia yang pesat berubah, kedayatahanan bukan sahaja satu nilai tetapi ia merupakan satu keperluan dan ke arah itu, tumpuan BEDB adalah untuk melengkapkan syarikat pemula dengan pemikiran dan strategi untuk mengatasi cabaran-cabaran dan merebut peluang tanpa mengira keadaan.

    Ia juga menggalakkan kolaborasi yang memberi peluang untuk membuka potensi kolektif, merangsang inovasi serta mempercepatkan pertumbuhan yang tidak dapat dicapai secara bersendirian.

    Prinsip terakhir adalah untuk menggalakkan inovasi kerana untuk kekal berada di barisan hadapan perkembangan yang transformatif, inovasi harus digunakan sebagai kuasa pemacu dan dapat menghasilkan penyelesaian yang membentuk sebuah masa depan yang lebih cerah.

    Daniel Leong turut menerangkan bahawa BSS 2025 menawarkan tiga trek tumpuan yang menyediakan para peserta dengan gambaran berharga dan akses kepada pakar, pemimpin dan usahawan dalam bidang-bidang bersinergi.

    Beliau berkata bahawa BSS bukan sahaja menyediakan sebuah platform untuk menghubungkan usahawan tempatan dengan pemain-pemain serantau utama tetapi juga menekankan komitmen mengalu-alukan lebih banyak syarikat pemula dan rakan-rakan kongsi daripada komuniti serantau dan tempatan untuk memasuki ekosistem kita.

    Usaha untuk membina syarikat pemula yang berkembang dan berdayatahan bukannya tanpa cabarannya tersendiri tetapi cabaran-cabaran berkenaan juga menyediakan peluang untuk kepintaran, keazaman dan usaha kolektif.

    “Perjalanan ini adalah penting untuk memajukan wawasan Wawasan Brunei 2035, sebuah visi yang bertujuan untuk mewujudkan ekonomi yang dinamik dan mampan, disokong oleh penduduk yang berkemahiran dan peningkatan kualiti hidup untuk semua.”

    BSS 2025 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini sehingga 23 Januari dengan penyertaan lebih 400 peserta daripada ekosistem keusahawanan tempatan dan serantau untuk bekerjasama dan berinteraksi.

    Ia mengetengahkan lebih 20 sesi yang dibahagikan kepada sesi plenari dan ucaptama serta juga bengkel-bengkel selari selain mengetengahkan pameran dan sesi pembentangan melibatkan syarikat-syarikat pemula yang berpotensi dalam negara kepada para peserta serantau.

    Daniel Leong menyampaikan ucapan.
    Antara yang hadir.
    Antara pengisian dalam majlis berkenaan.- GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda