Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Kontinjen negara ke temasya Sukan Para ASEAN ke-12, 2023 kelmarin sekali lagi mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam (NBD) di Kemboja apabila meraih tiga lagi pingat iaitu dua emas dan satu perak.
Atlet para olahraga, Awang Raduan bin Awang Haji Mataha telah meraih pingat emas bagi kategori Lontar Peluru Lelaki (F11) dengan mencatat jarak lontaran sejauh 7.75 meter (m).
Pingat emas ini merupakan pingat emas pertama beliau dalam temasya sukan tersebut dan sekali gus mencatatkan rekod kebangsaan. Manakala, tempat kedua telah dimenangi oleh Sambath Samban dari Kemboja dengan jarak lontaran sejauh 5.16m dan tempat ketiga telah dimenangi oleh Tha Phannit Phannit (5.14m) dari Kemboja.
Seterusnya, Dayang Nor Hensan binti Haji Mataha telah meraih pingat emas bagi kategori Lempar Cakera Wanita (F11) dengan jarak lontaran sejauh 22.94m. Ini merupakan pingat emas kedua beliau dalam temasya sukan tersebut.
Tempat kedua telah dimenangi oleh Nyugen Thi Chin dari Vietnam dengan jarak lontaran sejauh 20.07m dan tempat ketiga telah dimenangi oleh Rosalie Wuino Torrefiel (19.57m) dari Republik Filipina.
Manakala, pingat perak bagi kategori Lontar Peluru Lelaki (F34) telah menjadi milik Awang Alihan Muda dengan jarak lontaran sejauh 6.20m, yang tewas kepada Von Van Tung dari Vietnam dengan jarak lontaran sejauh 7.30m.
Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Kemboja, Tuan Yang Terutama Pengiran Kashmirhan bin Pengiran Haji Tahir dan Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor selaku chef de mission telah menyampaikan pingat-pingat dan maskot-maskot kepada para pemenang.