BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Negara Brunei Darussalam telah menandatangani Triti ASEAN mengenai Ekstradisi bersama 10 anggota negara ASEAN semasa acara sampingan Mesyuarat Menteri-menteri Undang-undang ASEAN (ALAWMM) ke-13 yang berlangsung hari ini hingga 15 November di Manila, Republik Filipina.
Menurut kenyataan dari Pejabat Peguam Negara, menandatangani triti tersebut bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib selaku pihak berkuasa Negara Brunei Darussalam bagi perkara-perkara ekstradisi.
Penandatanganan triti tersebut menandakan pencapaian bersejarah dan hasil yang penting di bawah ASEAN Political-Security Community Blueprint 2025 and the ASEAN Political-Security Plan in ASEAN Community Vision 2045: Our Shared Future.
Triti tersebut mengukuhkan ketahanan dan keupayaan ASEAN bagi menghormati dan menegakkan kedaulatan undang-undang di samping memerangi jenayah rentas sempadan, meningkatkan ketelusan prosedur dan memperkemas proses ekstradisi dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Triti tersebut juga merupakan langkah penting ke arah usaha ASEAN bagi mewujudkan rangka kerja perundangan yang lebih kukuh untuk kerjasama dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan ekstradisi dan memastikan pelaksanaannya.
Penandatanganan triti tersebut menekankan komitmen Brunei Darussalam untuk memantapkan kerjasama perundangan serantau dalam menangani jenayah rentas negara.
Sebelum ini, Model Triti ASEAN mengenai Ekstradisi (MAET) yang bersifat tidak mengikat dari segi undang-undang telah diterima pakai semasa ALAWMM ke-10 pada Oktober 2018.



