Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei tekan peranan negara asal bendung pemerdagangan orang

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Negara Brunei Darussalam telah mencatat sabitan pertama dalam kes pemerdagangan orang (TIP) pada 11 Ogos lalu, atas kesalahan pemerdagangan buruh di bawah Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang.

    Kes tersebut melibatkan seorang warga Bangladesh yang didapati telah merekrut enam orang rakan senegaranya melalui penipuan bagi tujuan eksploitasi buruh paksa.

    Perkara itu dikongsikan oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku ketua delegasi Negara Brunei Darussalam, semasa menyampaikan kenyataan negara pada sidang Plenari Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan kali ke-19 (AMMTC kali ke-19) yang berlangsung di Melaka, Malaysia, kelmarin.

    Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha yang dijalankan oleh negara penerima sahaja tidak mencukupi untuk membanteras TIP. Negara asal juga perlu memainkan peranan dengan melaksanakan prosedur saringan bagi memastikan rakyat mereka tidak menjadi mangsa pemerdagangan buruh.

    Dato Seri Paduka Haji Sufian juga mengongsikan mengenai trend peningkatan jenayah siber, khususnya penipuan dalam talian yang dihadapi oleh Negara Brunei Darussalam.
    Beliau menekankan tentang peningkatan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) sebagai modus operandi penjenayah siber.

    Dato Seri Paduka Haji Sufian bergambar ramai semasa AMMTC kali ke-19 di Melaka, Malaysia, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JPM
    Dato Seri Paduka Haji Sufian (kiri) semasa sidang tersebut yang berlangsung di Melaka, Malaysia. – GAMBAR SERAHAN JPM
    Dato Seri Paduka Haji Sufian hadir semasa Majlis Pembukaan Mesyuarat AMMTC kali ke-19. – GAMBAR SERAHAN JPM

    Sementara itu, pada 11 September, AMMTC juga telah mengadakan konsultasi dengan Negara-negara Rakan Dialog ASEAN iaitu konsultasi AMMTC + 3 kali ke -15; AMMTC + China kali ke -12; AMMTC + Jepun kali ke -10 dan AMMTC + Republik Korea kali ke-6, hari ini.

    Dalam sesi-sesi konsultasi berkenaan, Dato Seri Paduka Haji Sufian telah menyuarakan komitmen teguh Negara Brunei Darussalam untuk terus memperkukuhkan lagi kerjasama dengan negara-negara rakan dialog ASEAN dalam usaha memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

    Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada negara-negara rakan dialog ASEAN di atas segala bentuk sokongan dan kerjasama yang telah dihulurkan dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan secara bersepadu dan berkesan.

    Pada mesyuarat juga telah mengesahkan dan diterima pakai sebanyak 13 dokumen yang antaranya, Adopted the ASEAN Plan of Action in Combatting Transnational Crime (2026-2035); Adopted the Establishment of the SOMTC Working Group on Money Laundering; Adoption of the ASEAN Border Management Cooperation Roadmap; Adopted the Melaka Declaration on Combatting Transnational Crime; dan Adopted the ASEAN Declaration on Countering People Smuggling in Southeast Asia.

    Turut disahkan dan diterima ialah Adopted the ASEAN Declaration Combatting Cybercrime and Online Scam; Endorsed the ASEAN Leaders’ Declaration on Combatting Money Laundering; Endorsed the ASEAN Leaders’ Declaration on Enhanced Cooperation in Locating and Arresting Criminal Fugitives; Endorsed the ASEAN Leaders’ Declaration on the Use of Sports for Preventing Violent Extremism; Adopted the Joint Statement of the 19th AMMTC; Adopted the Joint Statement of the 15th AMMTC + 3 Consultation; Adopted the Joint Statement of the 12th AMMTC + China Consultation; Adopted the Joint Statement of the 10th AMMTC + Japan Consultation; dan Adopted the Joint Statement of the 6th AMMTC + Republic of Korea Consultation.

    Mesyuarat AMMTC kali ke-19 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan telah dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia selaku Ketua AMMTC – Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, yang disertai oleh menteri-menteri, ketua-ketua delegasi dan pegawai-pegawai kanan dari negara-negara ASEAN, Republik Demokratik Timor Leste dan Rakan Dialog ASEAN. Mesyuarat turut dihadiri oleh Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr Kao Kim Hourn.

    Majlis Pembukaan Mesyuarat AMMTC kali ke-19 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, TYT Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim pada 9 September.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam turut disertai oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, selaku Ketua ASEAN Mesyuarat Pegawai Kanan mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) Negara Brunei Darussalam; Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) selaku Pengerusi Mesyuarat Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Ehwal Konsular Kementerian Hal Ehwal Luar ASEAN (DGICM) ke-28 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan serta pegawai-pegawai kanan JPM dan JIPK.

    Mesyuarat AMMTC dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan merupakan sebuah platform tahunan yang signifikan bagi Menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam hal ehwal jenayah rentas sempadan untuk membincangkan trend semasa aktiviti jenayah serta situasi keselamatan serantau. Ia juga menjadi medan untuk pertukaran pandangan mengenai langkah-langkah strategik dan amalan terbaik dalam usaha menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda