Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu pencapaian penting dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui menerusi penandatanganan perjanjian bagi Joint-Venture Agreement, Land Lease Agreement dan Power Purchase Agreement bagi pelaburan, pembinaan dan pengendalian Loji Jana kuasa Fotovoltaik Solar (SPVPP) 30 MW di Kampung Belimbing Subok.
Sehubungan dengan itu, majlis penandatanganan perjanjian tersebut diadakan di Dewan Bankuet, Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat bersama serta menyaksikan penandatanganan perjanjian-perjanjian berkenaan ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir pada majlis itu ialah timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di JPM dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra dalam ucaptamanya, menyatakan majlis itu menandakan satu mercu tanda signifikan dalam perjalanan negara ke arah mencapai matlamatnya meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 30 peratus jumlah kapasiti terpasang menjelang 2035.
Beliau menyatakan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Tenaga di JPM telah menganugerahkan projek SPVPP 30 MW di Kampung Belimbing Subok kepada Seri Suria Power (B) Sdn Bhd iaitu sebuah usaha sama berasaskan kepada Perkongsian Awam Swasta (PPP) yang menyatukan Khazanah Satu Sdn Bhd dengan Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd dan syarikat tenaga suria, Atlantic Blue Sdn Bhd.
“Ini menandakan projek solar berskala besar pertama yang akan diterajui oleh kerajaan Brunei Darussalam dan inisiatif solar pertama yang dilaksanakan di bawah modaliti PPP — berfungsi sebagai pencari laluan untuk projek tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan.”
Pengiran Haji Jamra Weira seterusnya menerangkan pembinaan loji jana kuasa berkenaan akan bermula pada suku ketiga 2025 di mana apabila projek itu siap, ia dijangka untuk menjana keluaran tahunan yang boleh menjana kuasa bagi kira-kira 23,000 buah rumah iaitu bersamaan kepada 4 Class A LNG Cargo serta menyumbang kepada 670,000 tan pengelakan setara CO2 selama 25 tahun.
Usaha itu, tambahnya, adalah selaras dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebagai 20 peratus berbanding kepada tahap Business-As-Usual (BAU) menjelang 2030.
Ia juga mengukuhkan matlamat Brunei untuk mempelbagaikan sumber bahan api dalam sektor tenaga dan mengurangkan pergantungannya kepada bahan api fosil.
“Projek itu bukti yang jelas tentang kesediaan Brunei untuk menyokong projek tenaga solar yang besar.”
Majlis diteruskan dengan penandatanganan Joint-Venture Agreement oleh Lembaga Pengarah bagi Syarikat Khazanah Satu Sdn Bhd, Haji Asrul Adrain bin POKSPDSS Dr Haji Ahmad; Pengerusi dan Pengarah Urusan Syarikat Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Strategi bagi pihak Syarikat Atlantic Blue Sdn Bhd, Liew Chee Ing.
Perjanjian berkenaan adalah untuk membentuk sebuah syarikat usaha sama bernama Seri Suria Power (B) Sdn Bhd.
Sementara itu, Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, menandatangani Land Lease Agreement bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia manakala Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Seri Suria Power (B) Sdn Bhd, Ravi Bhaskaran, menandatangani bagi pihak Syarikat Seri Suria Power (B) Sdn Bhd.
Manakala itu, Power Purchase Agreement ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Awang Ahmad Ridza bin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman dan bagi pihak Syarikat Seri Suria Power (B) Sdn Bhd pula diwakili oleh Ravi Bhaskaran.
Dengan termeterainya perjanjian Power Purchase Agreement, Projek Solar Berskala 30MW akan berlangsung selama 25 tahun.
Majlis menandatangani perjanjian-perjanjian berkenaan disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.
Syarikat Seri Suria Power (B) Sdn Bhd merupakan syarikat usaha sama di antara Khazanah Satu Sdn Bhd, syarikat berkaitan kerajaan dan Syarikat Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa iaitu Atlantic Blue Sdn Bhd, anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Malaysia.