Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Dalam usaha global yang berterusan menentang tembakau, Negara Brunei Darussalam telah muncul sebagai pengaruh yang signifikan apabila menerima Anugerah Integriti daripada Global Center for Good Governance in Tobacco Control (GGTC), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, di sini, pengiktirafan itu, diberikan semasa acara sampingan di Mesyuarat Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHOFCTC) Persidangan Parti yang ke-10 (COP 10) pada 5 Februari di Pusat Konvensyen Panama, Panama, menggariskan pencapaian cemerlang negara dalam menangani gangguan industri tembakau.
Menerajui Indeks Gangguan Industri Tembakau Global dalam kalangan 90 buah negara di seluruh dunia dengan skor 14, Brunei menunjukkan prestasi cemerlangnya dalam melindungi dasar kesihatan awam daripada kepentingan komersial.
Pencapaian itu amat ketara dalam pelaksanaan berkesan Artikel 5.3 WHOFCTC, yang menghendaki perlindungan terhadap kepentingan komersial dan kepentingan lain industri tembakau. Khususnya pada 2019, Pejabat Perdana Menteri telah membentuk peraturan code of conduct bagi penjawat awam di negara ini, seperti yang direkodkan dalam Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri BIL: 8/2019 di mana peraturan itu secara tegas melarang sebarang penglibatan dengan industri tembakau dan telah dikenali sebagai amalan terbaik oleh GGTC.
Ketika negara meraikan pencapaian itu, adalah penting bagi semua pihak berkepentingan untuk memahami peranan mereka dalam meningkatkan usaha kawalan tembakau. Kakitangan awam, terutamanya, memainkan peranan penting dalam mematuhi peraturan code of conduct dan menyokong dasar bebas tembakau.
Selain itu, individu dan masyarakat secara amnya boleh menyokong inisiatif ini dengan menyokong dan menguatkuasakan persekitaran bebas tembakau di tempat kerja, institusi pendidikan, kawasan awam dan persendirian.
Dalam pada itu, menangani ketagihan nikotin juga merupakan perkara yang penting. Oleh itu Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan menawarkan Klinik Berhenti Merokok (KBM) yang menyediakan khidmat kaunseling dan bantuan farmakoterapi kepada mereka yang ingin berhenti merokok dan menggunakan vape.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang bantuan bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 (TD123), membuat temu janji melalui aplikasi BruHealth atau mengunjungi pusat kesihatan yang berdekatan.


