Oleh Fadhil Yunus & Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Pasukan bola sepak kebangsaan Brunei Darussalam dijangka akan membuat penampilan sulung dalam kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 bawah 23 tahun selepas upacara undian rasmi diadakan di Singapura, hari ini.
Pasukan Tabuan Muda bakal bertemu Kemboja, Timor Leste dan Filipina dalam Kumpulan A, sementara Myanmar, Malaysia dan Laos berada dalam Kumpulan B. Sementara itu Thailand, Vietnam dan Singapura melengkapkan senarai Kumpulan C.
Kedudukan pasukan adalah berdasarkan edisi kejohanan sebelumnya pada 2019.
Kejohanan utama untuk pasukan kebangsaan bawah 23 tahun di Asia Tenggara ini akan menyaksikan Kemboja sebagai tuan rumah buat kali kedua berturut-turut yang bakal bermula pada 14 hingga 26 Februari tahun hadapan.
Perlawanan-perlawanan akan berlangsung di Stadium Morodok Techno dan Stadium Prince.

Presiden Persekutuan Bola sepak Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan berkata, “Sebagai ahli anggota AFF, ia adalah suatu kewajiban untuk menyertai kejohanan tersebut.”
Beliau menambah, “Ia telah dimaklumkan lebih awal kepada semua ahli bahawa kejohanan ini akan dijadikan sebagai pemanas badan dan percubaan untuk Kemboja yang bakal menganjurkan Sukan SEA.”
Beliau mengongsikan persediaan sudah dimulakan dengan memanggil pegawai-pegawai dan pemain ketika Liga Super Brunei ditangguhkan – yang sepatutnya untuk membuatkan pemain terus cergas.
Presiden FABD turut menambah, “Walau bagaimanapun, dengan situasi sekarang, ia telah membuatkan persediaan menjadi huru-hara sehingga membuatkan FABD menarik diri daripada Piala Suzuki.
“Ketika pasukan lain sudah membuat persiapan lengkap, kami masih berada dalam dilema. Kami cuba memanfaatkan sepenuhnya apa yang boleh dilakukan, kami perlu bersikap realistik.
“Kami akan melakukan yang terbaik meskipun kita perlu bersikap realistik. Pemain kami memerlukan lebih masa dan saya berharap kita dapat membuat persiapan dan berlatih dengan betul-betul,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, “Tempoh masa lebih satu bulan dari sekarang, AFF bawah 23 tahun akan bermula dan peminat di rantau ini sekali lagi akan bersorak untuk pasukan kebangsaan mereka.
“Kami tidak sabar untuk menganjurkan kejohanan yang akan mempamerkan bintang masa hadapan di rantau ini.”
Presiden AFF menekankan bahawa Kejohanan AFF bawah 23 tahun akan menjadi jadual tetap dalam kalender kejohanan.
Beliau berkata, “Kejohanan ini akan melengkapkan program sedia ada bagi pasukan Asia Tenggara dan membantu mereka membuat persediaan untuk kejohanan utama termasuk Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.”
Presiden AFF dan Timbalan Presiden AFF, Dato’ Sri Francisco Kalbuado Lay berkesudian mencabut undian pemilihan pasukan.