BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Negara Brunei Darussalam hari ini telah mencatatkan sifar kes jangkitan COVID-19 selama 10 hari berturut-turut, menjadikan kes di negara ini kekal 138 orang.
Sementara itu, tidak ada kes telah disahkan sembuh daripada COVID-19, menjadikan jumlah sembuh kekal 124 orang. Ini membawa jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kepada 13 kes.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mendedahkan statistik terbaharu itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Menurutnya lagi, dua kes masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.
“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 279 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 13,428 ujian,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Mengenai dengan kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa satu kes yang sedemikian telah disahkan positif semula pada hari ini dan satu kes telah dibenarkan pulang.
“Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini seramai 22 orang di mana tujuh orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, setakat 29 April (hari ini), sebanyak 4,310 ujian COVID-19 rambang bagi tujuan surveilans telah dijalankan dalam kalangan pekerja asing dan mereka yang hadir untuk mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang mana keputusannya adalah semua negatif.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.
