Monday, May 29, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Brunei terus dipromosi ke persada dunia

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Ak Zaki dan BahyIah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Sepanjang hampir lima dekad, syarikat penerbangan kebangsaan Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah mempromosikan budaya dan tarikan unik negara ke serata dunia.

    Kekayaan sejarah negara, tradisi dan keindahan alam semula jadi ini dipamerkan kepada pengembara di seluruh dunia dengan kesalinghubungan yang dibawa oleh RB dalam penerbangan dan kerjasamanya dengan Pelancongan Brunei serta beberapa pengendali pelancongan di negara ini melalui laman web Discover Brunei yang khas di FlyRB.

    “Laman web Discover Brunei menjadi direktori lawatan dan satu inisiatif yang akan mendorong lebih ramai orang untuk menerokai keindahan tersembunyi Brunei dan membantu mempromosikannya kepada dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid semasa berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-48 penerbangan dan ke-20 Program Royal Skies Miles di Kampus RB hari ini.

    Menurut Kapten Sabirin lagi, dalam masa terdekat RB berhasrat menyediakan platform dalam talian yang lancar di laman web tersebut, di mana tetamu dapat dengan mudah membuat tempahan mengikut keselesaan mereka.

    Manakala ketika menyentuh mengenai ulang tahun ke-20 program Royal Skies, beliau menekankan bahawa sejak 15 Mei 2003, program tersebut terus berkembang pesat daripada 6,153 keahlian kepada lebih 203,000 ahli pada ketika ini dan menjalin kerjasama dengan 10 rakan kongsi tempatan dan tiga antarabangsa.

    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid bersama-sama memotong kek bagi meraikan ulang tahun ke-20 Royal Skies Miles.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa diterangkan mengenai menu hidangan istimewa pada majlis tersebut.

    Pertumbuhan yang pesat ini menjadi bukti manfaat program Royal Skies, yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan ganjaran eksklusif kepada ahli. Melalui program ini, ahli dapat memperoleh dan menebus ganjaran untuk penerbangan, peningkatan status serta ganjaran menarik lainnya.

    Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-20 Royal Skies, RB telah mengatur beberapa aktiviti menarik bagi penyokong dan rakan kongsi setia mereka, termasuk cabutan bertuah di Instagram dan kempen tukar batu dengan rakan kongsi terpilih.

    Aktiviti-aktiviti ini memberikan peluang yang hebat kepada ahli Royal Skies untuk meningkatkan jumlah batu mereka dan mendekati percutian impian mereka selanjutnya, tambahnya.

    Beliau turut menyatakan RB juga berbangga memperkenalkan hidangan baharu dalam penerbangan yang dicipta melalui kerjasama dengan Royal Brunei Culinary (RBC), rakan kongsi perkhidmatan katering dalam penerbangan yang telah lama diiktiraf. Hidangan baharu ini akan tersedia bagi tetamu kelas ekonomi dan perniagaan mulai 1 Jun nanti.

    Kapten Sabirin turut melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan dan kesetiaan tetamu dan rakan kongsi mereka. RB komited untuk terus berkembang dan berinovasi dalam menyediakan perkhidmatan dan penjagaan yang terbaik kepada tetamu mereka.

    Pengurus Besar RBC, Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada RB atas ulang tahun ke-20 program Royal Skies mereka. RBC juga berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perayaan tersebut dan bekerjasama dengan RB dalam memperbaharui menu makanan dalam penerbangan. Dengan mempertimbangkan trend kesihatan dan pemakanan, menu baharu ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman menjamu selera dalam penerbangan dengan gabungan perisa tradisional dan antarabangsa yang menggunakan hasil tempatan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    China sedia hantar orang awam pertama ke angkasa lepas

    CHINA, 29 MEI - China akan menghantar angkasawan awam pertamanya ke angkasa lepas sebagai sebahagian daripada misi kru ke stesen angkasa Tiangong, esok, ketika...
    - Advertisment -