Brunei tewas berdepan Thailand

Oleh Fadhil Yunus

MANILA, 28 NOV – Pasukan bola sepak kebangsaan Brunei Darussalam mempamerkan semangat juang yang tinggi walaupun tewas 7-0 kepada Thailand dalam pusingan awal Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Stadium Rizal Memorial di Manila Filipina, kelmarin.

Skuad Tabuan Muda terus bertahan dalam menentang juara bertahan dalam aksi separuh masa pertama kerana pasukan pilihan itu hanya berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-43.

Thailand yang tidak sabar untuk memulakan perlawanan, bagi mempertahankan gelaran mereka selepas tewas 2-0 kepada Indonesia dalam perlawanan pembukaan mereka, mengorak langkah apabila pemain hadapan Supachai Jaided menjaringkan gol buat pasukan mereka. The Young War Elephants memecah pertahanan Brunei ketika Jaroensak Wonggorn melepaskan sepakan ke gawang Haimie anak Nyaring.

Pemain sayap Thailand, Anon Amornlerdsak menjaringkan gol di separuh masa kedua selepas melakukan sepakan percuma dari tepi kotak penalti.

Pemain pertahanan Sarayut Sompim turut menjaringkan gol dengan tandukan yang deras pada minit ke-72.

Penyerang Thailand Suphanat Mueanta menjaringkan dua gol untuk tahun ini menentang Brunei, menjadikan keputusan 5-0, setelah menjaringkan gol dalam perlawanan kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Mac lalu.

Supachai dengan bijak memperdaya barisan belakang Brunei sebelum Anon Amornlerdsak menjaringkan gol seterusnya pada minit ke-87.

Gol ketujuh hadir apabila Supachok Sarachat menendang masuk bola ke gawang seminit sebelum masa perlawanan tamat.

Aksi kedua-dua pasukan dalam perlawanan tersebut. – Gambar oleh Infofoto