Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Pasukan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam terpaksa akur atas kekalahan 0-2 kepada pasukan Bermuda sekalipun berjaya memberikan saingan yang cukup menarik pada perlawanan FIFA Series di Stadium King Abdullah Sport City, Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini.
Perlawanan persahabatan yang menampilkan aksi julung kali skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa pada tahun ini juga perlu mendapat pujian atas kesungguhan dan prestasi saingan yang ditunjukkan sepanjang 90 minit perlawanan.
Pasukan Bermuda yang berada di ranking FIFA ke-170 lebih agresif bagi menguji penjaga gol Brunei, namun benteng pertahanan anak buah Mario terlalu ampuh untuk dirobohkan sehingga ke wisel separuh masa pertama perlawanan.
Manakala perlawanan pada babak kedua, aksi adalah lebih menarik di mana kedua- kedua pasukan terus berusaha mencari jaringan, namun pasukan Bermuda lebih bernasib baik memperoleh dua jaringan menerusi pemain tengah, A Todd pada minit ke-81 dan Djair Parfitt-Williams menambah gol dua minit sebelum masa tamat.
Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Mario Rivera Campesino sudah menjangkakan anak buahnya akan menerima cabaran sepanjang 90 minit perlawanan.
“Pemain memberikan saingan yang seimbang sehingga menyukarkan pasukan lawan memecahkan benteng pertahanan sehingga 10 minit terakhir perlawanan,” ujarnya.
Mario turut memuji kesungguhan pemain-pemain yang berjaya memberikan saingan dan seterusnya mencipta beberapa peluang di depan gawang lawan.
“Secara keseluruhan pemain-pemain telah menunjukkan prestasi yang baik sambil menyifatkan kekalahan pasukannya perlu menjadi iktibar dalam membina satu pasukan yang lebih mantap,” tambahnya.
Pasukan negara akan meneruskan perlawanan FIFA Series menentang pasukan Vanuatu pada 26 Mac ini.


