Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Thailand dan Negara Brunei Darussalam menikmati hubungan dua hala yang erat dalam pelbagai bidang termasuk sektor pertahanan.
Pada 2024, kedua-dua buah negara akan meraikan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-40 di mana hubungan pertahanan Brunei dan Thailand dibina melalui pertukaran yang kerap di antara angkatan bersenjata kedua-dua buah negara yang memupuk persefahaman serta membangun kapasiti menerusi perkongsian pengalaman dan amalan terbaik.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai dalam ucapannya pada Majlis Resepsi Hari Angkatan Bersenjata Diraja Thailand 2024 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bolhassan dan isteri, Datin Ummisyafinah binti Haji Zaini.
Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin, perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kerajaan, pegawai-pegawai beruniform, sektor swasta serta jemputan khas.
PYT Boosara Kanchanalai menyatakan bahawa kerjasama-kerjasama ketenteraan antara kedua-dua buah negara termasuk pertukaran pendidikan ketenteraan dan penjumpaan yang kerap di bawah pelbagai mekanisme dalam rangka kerja serantau serta dua hala.
Beliau turut mendedahkan bahawa pada bulan depan, tiga buah kapal Tentera Laut Diraja Thailand akan membuat lawatan dan berlabuh di Negara Brunei Darussalam.
Pertukaran-pertukaran berkenaan, tambahnya, mencerminkan komitmen kedua-dua angkatan bersenjata bagi meningkatkan lagi hubungan pertahanan dua hala di antara kedua-dua buah negara.