Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Thailand dan Negara Brunei Darussalam telah menikmati hubungan dua hala yang erat sepanjang 41 tahun dalam pelbagai bidang dan juga di bawah rangka kerja ASEAN.
Dalam bidang pertahanan, kedua-dua angkatan tentera negara berkenaan memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan ini melalui lawatan, pertukaran, dan kerjasama yang kerap. Inisiatif-inisiatif ini telah membina pemahaman bersama, kepercayaan dan penghormatan, serta mempromosikan pembinaan kapasiti melalui perkongsian pengalaman dan amalan terbaik.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai dalam ucapannya pada Majlis Resepsi Hari Angkatan Bersenjata Diraja Thailand 2025 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, malam kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Majer Jeneral, Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Datin Ummisyafinah binti Haji Zaini.
Majlis berkenaan dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dan diikuti dengan ucapan Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai.
PYT Boosara juga berkata, Hari Angkatan Tentera Diraja Thailand yang disambut setiap tahun pada 18 Januari adalah untuk memperingati keberanian dan kepimpinan Raja Naresuan yang berjuang untuk kebebasan dan perpaduan Kerajaan Thailand pada 432 tahun yang lalu. Ia juga merupakan hari untuk menghormati pengorbanan yang dibuat oleh anggota tentera Thailand dalam melindungi kedaulatan negara dan integriti wilayah.
Pada masa kini, Angkatan Tentera Diraja Thailand bukan sahaja berfungsi sebagai pembela negara dengan menjaga kedaulatan, integriti wilayah dan sistem raja berperlembagaan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan keselamatan negara dan ketenteraman awam. Mereka juga merupakan antara respons pertama ketika berlakunya krisis, memberikan bantuan penyelamatan, bantuan kemanusiaan, dan bantuan kepada mangsa yang terjejas oleh bencana alam dan kecemasan lain.
Beliau turut menyatakan rasa bangga dengan Misi Pembangunan Angkatan Tentera Diraja Thailand yang bertujuan untuk memacu pembangunan sosioekonomi di dalam dan luar Thailand serta sebagai sebahagian daripada sumbangan Thailand kepada operasi pengaman PBB.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan sesi bergambar ramai.