Monday, July 14, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei tuan rumah VECONAC EBM & GA

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Negara Brunei Darussalam sekali lagi telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Badan Eksekutif dan Perhimpunan Agong Persekutuan Veteran Negara-negara ASEAN (VECONAC EBM & GA), baru-baru ini.

    Mesyuarat ke-30 Perhimpunan VECONAC ke-17 tersebut telah dihoskan oleh Persatuan Bekas Perajurit Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diadakan di Hotel Parkview Jerudong selama lima hari bermula 23 hingga 27 November lalu.

    Majlis perasmian mesyuarat tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

    Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Presiden VECONAC, Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari bin Ahmad.

    Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih ketika bergambar ramai selepas VECONAC EBM & GA.

    Juga hadir pada mesyuarat tersebut ialah ketua-ketua delegasi dari negara-negara ASEAN, para jemputan khas dan penasihat-penasihat Persatuan Bekas Perajurit Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong dan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud serta mantan-mantan pemerintah ABDB dan ahli-ahli Persatuan Bekas Perajurit Negara Brunei Darussalam.

    Acara terakhir yang diadakan di Negara Brunei Darussalam ialah Mesyuarat Badan Eksekutif ke-29 dan Perhimpunan Agong VECONAC ke-16 pada 6 hingga 10 Oktober 2016.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda