Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Ke arah mengukuhkan komitmen dan kerjasama dalam memajukan dan memodenisasi perkhidmatan awam kedua-dua buah negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Hal Ehwal Kabinet, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU), kelmarin.
MoU dalam pertukaran pengalaman bagi pembangunan dan pemodenan kerajaan berkenaan akan mencetuskan perkongsian strategik melalui Program Pertukaran Pengalaman Kerajaan (GEEP).
Majlis penandatanganan telah berlangsung di Madinat Jumeirah, Dubai, UAE di mana menandata-ngani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Manakala itu, menandatangani bagi pihak kerajaan UAE ialah Menteri Hal Ehwal Kabinet, Tuan Yang Terutama Mohammad Abdullah Al Gergawi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPM, penandatanganan MoU berkenaan antara lain menekankan komitmen antara Negara Brunei Darussalam dan UAE dalam kemajuan, pembangunan dan pemodenan kerajaan.

Dalam masa yang sama, ia turut menggariskan visi bersama kedua-dua buah negara dalam memartabatkan tadbir urus kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa.
Perkongsian itu juga merangkumi inti pati pakatan strategik, memupuk persahabatan antara kedua-dua negara serta dedikasi ke arah pembangunan kerajaan dalam memudah cara kerjasama melalui pertukaran pengalaman dan perkongsian amalan terbaik dalam bidang pembangunan kapasiti perkhidmatan awam, perubahan iklim dan strategi tenaga yang boleh diperbaharui.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Mohammad Abdullah Al Gergawi berada di Dubai bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2024 yang berlangsung dari 12 Februari hingga esok.
Sidang kemuncak bertemakan Membentuk Kerajaan Masa Depan itu diadakan bagi memupuk kerjasama antarabangsa dan membolehkan kerajaan untuk mengenal pasti penyelesaian inovatif kepada cabaran-cabaran masa depan sebagai inspirasi kepada generasi akan datang.
Program GEEP merupakan ini-siatif kerajaan UAE ke arah perkongsian pengetahuan dan pengalaman bagi amalan terbaik dalam membina kapasiti institusi pembangunan dan pemodenan kerajaan.
Dengan penandatanganan MoU tersebut, Negara Brunei Darussalam merupakan negara ahli ASEAN pertama yang menyertai program berkenaan dan membuka peluang untuk berkongsi pengalaman dan seterusnya mempelajari amalan terbaik di antara kedua-dua buah negara.
Turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan itu ialah Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin.

