Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Menteri Negara bagi Indo-Pasifik di Pejabat Pembangunan, Komanwel dan Luar United Kingdom (UK), Puan Yang Terutama Anne-Marie Trevelyan telah mempengerusikan bersama Dialog Strategik UK-Brunei Darussalam ke-3 yang berlangsung di London pada 26 Mac lalu.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, menyatakan bahawa para menteri telah memperingati ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara UK dan Negara Brunei Darussalam ke-40.
Kenyataan juga menyatakan bahawa bagi menandakan mercu tanda penting itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan dan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Pembangunan, Komanwel dan Luar, David Cameron telah mengadakan perbincangan dua hala dalam garisan dialog strategik berkenaan.
Dialog strategik itu telah ditubuhkan pada November 2021, bertujuan untuk mempromosi dan mengukuhkan kerjasama dua hala bagi membina atas asas persahabatan istimewa dan hubungan berpanjangan di antara kedua-dua buah negara.
Ia menunjukkan hubungan kerajaan-ke-kerajaan yang kukuh, sejarah bersama, hubungan pendidikan erat, hubungan warga-ke-warga serta hubungan pertahanan yang menyokong kemakmuran dan keselamatan di rantau berkenaan.


Para menteri yang bersidang mengalu-alukan hubungan dua hala yang kukuh dan menyemak bidang-bidang kerjasama di antara kedua-dua buah negara yang juga membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk kerjasama ekonomi dan perdagangan, hal ehwal perundangan, pertahanan, sekuriti, isu-isu maritim, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar pendidikan serta hak manusia.
Dalam hubungan itu, para menteri membincangkan peluang-peluang untuk mengembangkan dan mendalamkan lagi kerjasama dalam bidang-bidang baharu dan yang sedia ada.
Kedua-dua pihak juga mengalu-alukan trajektori positif hubungan UK-Brunei Darussalam dan komitmen untuk bekerjasama bagi mengukuhkan serta memperdalamkan lagi hubungan dua hala berkenaan.
Para menteri mengesahkan semula komitmen bagi penyelarasan lebih erat melalui forum pelbagai hala termasuk ASEAN, Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Dalam hubungan itu, mereka mengesahkan semula pentingnya nilai-nilai yang termaktub dalam Piagam PBB dan Piagam ASEAN termasuk hormat kepada kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah bagi semua negara.
Mereka juga menggariskan komitmen kuat kepada mengukuhkan multilateralisme dan rules-based international order dalam menangani cabaran-cabaran global semakin kompleks serta mempercepatkan perkembangan ke arah pembangunan mampan dan matlamat perubahan iklim.
Para menteri juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta kebimbangan bersama termasuk perkembangan terkini dalam Gaza/Timur Tengah, Ukraine, Laut China Selatan dan Myanmar. Mereka juga memandang ke hadapan kepada Dialog Strategik UK-Brunei Darussalam seterusnya, yang akan diadakan di Negara Brunei Darussalam pada 2025.

