Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong telah menekankan pentingnya peranan saksi pakar dalam ucapan alu-aluannya pada seminar dalam talian yang diadakan antara Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam, dan Yayasan Slynn pada 22 Mei lalu.
Dalam seminar tersebut, Ketua Hakim Negara telah menggariskan kepentingan kerjasama yang berterusan antara Mahkamah Besar dengan Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam dan Slynn Foundation.
Beliau juga menyatakan bahawa seminar itu merupakan satu platform untuk memperkukuhkan hubungan antara badan kehakiman di negara ini dengan rakan sejawat di England dan Wales, sambil mempromosikan aspirasi bersama dalam memajukan kedaulatan undang-undang.
Turut hadir pada seminar tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe, serta Pengerusi Slynn Foundation, Stephen Irwin.
Para peserta seminar terdiri daripada anggota badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara, Persatuan Undang-undang, Mahkamah Syariah, Jabatan Peguam Tentera, Jabatan Perdana Menteri, dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Slynn Foundation bekerjasama dengan hakim dan institusi keadilan di seluruh dunia untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang serta meningkatkan kefahaman profesional dalam bidang hak asasi manusia, pengantaraan, dan amalan undang-undang.
Melalui siri kuliah oleh pakar undang-undang terkemuka itu, Slynn Foundation berusaha menyokong matlamat Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam dalam berkongsi pengetahuan dan memperkukuh persahabatan yang telah terjalin sejak 2021.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/05/P4-1A_26052023.jpg)