Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Negara Brunei Darussalam mengulangi komitmennya untuk menyokong pelanjutan Deklarasi Kerjasama Negara-negara OPEC dan bukan OPEC bagi pelarasan pengeluaran minyak, selama sembilan bulan lagi bermula 1 Julai ini.
Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar menandatangani persetujuan pelanjutan deklarasi tersebut pada Mesyuarat Menteri-menteri OPEC dan Bukan OPEC ke-2 yang berlangsung Vienna, Australia pada 25 Mei lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian di JPM di sini, hari ini, mesyuarat tersebut mengumpulkan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dari 14 buah negara anggota OPEC dan sembilan buah negara bukan OPEC yang mengambil bahagian termasuk Azerbaijan, Bahrain, Brunei, Kazakhstan, Malaysia, Mexico, Oman, Rusia dan Sudan.
Pada 10 Disember 2016 lalu, satu deklarasi kerjasama telah dimeterai untuk keputusan penyelarasan pengeluaran minyak secara sukarela oleh negara-negara bukan OPEC yang mengambil bahagian termasuk Negara Brunei Darussalam.

Presiden Persidangan, Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral, Arab Saudi, Khalid Al-Falih menyampaikan ucapan alu-aluannya pada mesyuarat berkenaan diikuti oleh Menteri Tenaga Persekutuan Rusia, Alexander Valentinovich Novak, yang juga pengerusi gantian (alternate chairman) mesyuarat itu.
Menurut kenyataan itu lagi, tahap prestasi pematuhan telah meningkat sejak 2017 di mana pada April, tahap pematuhan telah meningkat ke 102 peratus.
Mesyuarat tersebut turut mengambil maklum bahawa untuk mencapai kestabilan berpanjangan dalam pasaran minyak bagi kepentingan pengguna dan pengeluar minyak, adalah amat perlu untuk meneruskan usaha pengimbangan semula pasaran selepas 2017.
Dalam hubungan ini, menteri-menteri yang bermesyuarat bersetuju dengan keputusan untuk melanjutkan tempoh penyelarasan pengeluaran selama sembilan bulan lagi mulai 1 Julai ini.