Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Brunei Darussalam menempa nama di persada antarabangsa selepas memenangi pingat perak dalam kategori PUBG Mobile dengan pungutan mata sebanyak 186 dalam Kejohanan E-Sukan Dunia 2022 ke-14 di Bali, Indonesia.
Melalui Persatuan E-Sukan Brunei, pasukan negara yang diwakili oleh Muhd Safwan Hakimi Abdullah Husaini, Mohd Hadif Fadhli Haji Sufari, Muhd Danish Haqeeme Hizami bin Muhaimin and Muhd Danial Hadhrami Safiuddin bin Muhaimin berada tujuh mata di belakang juara, Kazakhstan dan 35 mata di hadapan pemenang tempat ketiga, Jordan.
Mereka berjaya mengalahkan pasukan dari Arab Saudi, Iraq, Taiwan, Maghribi, Korea Selatan, Turkiye, Brazil, Vietnam, Pakistan, Sri Lanka, Maldives, Mesir dan negara tuan rumah, Indonesia.
Persatuan juga telah menghantar enam orang atlet termasuk peserta Tekken 7, Muhd Hafey Mirza bin Haji Mohd Shafiee dan Muhd Abdul Qawiy Wafiyuddin bin Haji Zulaihee yang bersaing dalam eFootball 2023.
Presiden Persatuan E-Sukan Brunei, Abdul ‘Azhiim bin Haji Abdul Latif dan Setiausaha Agung, Hawaii Yee turut berada di Indonesia sebagai pegawai pengiring.
“Ini merupakan satu penghormatan untuk menyaksikan bakat-bakat muda mewakili negara buat kali pertama di peringkat antarabangsa.
“Mereka telah menunjukkan keupayaan untuk menjadi juara sejak peringkat play-in dan final,” kata Abdul ‘Azhiim.
Beliau juga menambah Hafey berjaya mendapat tempat dalam pusingan 16 terakhir, manakala Muhd Abdul Qawiy berjaya bersaing dengan pemain profesional dari Sepanyol, Thailand dan Bosnia.
“Ini merupakan kali pertama kami bersaing di luar negara dan bertemu atlet bertaraf dunia,” kata kapten pasukan PUBG, Muhd Safwan Hakimi.
Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IESF) yang telah disertai oleh 106 buah negara. Antara permainan yang dipertandingkan ialah PUBG Mobile, Mobile Legends Bang Bang, eFootball 2023, Tekken 7, Dota 2, CSGO (lelaki) dan CSGO (wanita).


