Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Pemain golf senior Brunei Darussalam muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Amatur Senior ASEAN (ASEAN SAGC) ke-39, 2025 selepas mengumpul 53 mata pada majlis penutup dan penyampaian hadiah di Hotel Antarabangsa Rizqun, baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan pasukan tuan rumah menjulang Trofi Cabaran Lela Pahlawan, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di peringkat serantau. Naib juara keseluruhan disandang Malaysia dengan 51 mata manakala Thailand menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, Presiden Persatuan Golf Amatur Senior Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bin Haji Abdul Aziz, dalam ucapan pembukaan, berkata kejohanan bukan sahaja memberi peluang memperkasa kemahiran golf tetapi juga mengeratkan silaturahim dengan menjalin kenalan baharu serta memperbaharui hubungan lama.
Selain kejuaraan keseluruhan, pasukan Brunei turut menjuarai Kategori Nett Berpasukan sekali gus membawa pulang Trofi Cabaran Zakir. Pasukan itu dianggotai Lt Kol (B) Rizal Hadi, Abdul Razak Mohd Hassan, Mejar (B) Haji Suhaimi Karim dan Hong Kok Seng. Tempat kedua dimenangi Thailand manakala Filipina meraih tempat ketiga.
Dalam Kategori Nett Individu, pemain senior emas Brunei, Abdul Razak Mohd Hassan turut cemerlang apabila menjuarai kategori tersebut sekali gus meraih Trofi Cabaran Mondonedo.
Pemain Filipina, Deoracias Christobal, menamatkan saingan di tempat kedua manakala pemain Malaysia, Kenny Tan, di tempat ketiga.
Bagi Kategori Gross Perseorangan, wakil Myanmar, Aik Pang mencatat 226 skor untuk menjuarai kategori itu dan membawa pulang Trofi Cabaran Salahuddin. Tempat kedua dimenangi Johari Haji Ahmad dari Brunei dengan 228 skor manakala tempat ketiga dimenangi U Soe dari Myanmar.
Dalam Kategori Gross Berkumpulan, pasukan Myanmar menjuarai pertandingan sekali gus menerima Trofi Cabaran Tun Sir Henry H.S. Lee, diikuti Malaysia di tempat kedua dan Brunei di tempat ketiga.
Kejohanan yang berlangsung dari 21 hingga 24 September itu menghimpunkan pemain golf senior dari enam negara iaitu Malaysia, Singapura, Myanmar, Thailand, Filipina dan tuan rumah Brunei Darussalam.


