Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bruno pimpin United ke suku akhir Liga Europa

    MANCHESTER, 14 MAC – Bruno Fernandes memimpin Manchester United mara ke suku akhir Liga Europa dengan jaringan hatrik yang membantu menewaskan Real Sociedad 4-1 di Old Trafford semalam, sekali gus menang secara agregat 5-2.

    Tiga gol pertama perlawanan hadir menerusi sepakan penalti, di mana Mikel Oyarzabal meletakkan Sociedad di hadapan lebih awal. Namun, Bruno Fernandes segera menyamakan kedudukan sebelum sekali lagi menambah gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-50.

    Pemain antarabangsa Portugal itu kemudian memastikan United akan bertemu Lyon di suku akhir dengan menjaringkan gol ke-15 musim ini. Diogo Dalot melengkapkan kemenangan dalam salah satu malam terbaik Ruben Amorim sejak mengambil alih sebagai pengendali The Red Devils.

    Amorim sebelum ini menyatakan selepas sepakan percuma menakjubkan Fernandes dalam keputusan seri 1-1 menentang Arsenal bahawa pasukannya ‘memerlukan lebih ramai pemain seperti Bruno’.

    “Apabila kami memerlukannya, dia sentiasa ada,” kata Amorim mengenai Bruno Fernandes. “Dia adalah kapten yang sempurna untuk pasukan kami, dan kami perlu membantunya memenangi kejuaraan kerana dia benar-benar layak.”

    Berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris dan sudah tersingkir daripada kedua-dua kejohanan domestik, Liga Europa menjadi harapan terakhir United untuk menyelamatkan musim yang suram.

    Rasmus Hojlund yang melalui kemarau gol dalam 21 perlawanan dijatuhkan ketika cuba mencapai hantaran Fernandes, sebelum pemain Portugal itu tenang menyempurnakan penalti.

    United sepatutnya mendahului sebelum rehat, tetapi Hojlund gagal memanfaatkan hantaran silang Joshua Zirkzee apabila bola sepakannya tersasar.

    Namun, mereka hanya perlu menunggu lima minit selepas babak kedua bersambung untuk mendapatkan peluang lain. Zirkzee tidak berjaya menewaskan Alex Remiro dari luar kotak penalti, tetapi Patrick Dorgu pantas menyambar bola terlantun sebelum dijatuhkan oleh Elustondo, menyebabkan pengadil menghadiahkan penalti kedua United. – AFP

    Bruno Fernandes menjaringkan gol pertama pasukannya menerusi sepakan penalti di Stadium Old Trafford, Manchester, England, semalam. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda