Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BruROSA anjur Majlis Khatam Al-Quran

    LONDON, UNITED KINGDOM, 8 APRIL – Sempena sambutan Nuzul Al-Quran, Persatuan Pelajar-pelajar Pegawai Ugama Brunei (BruROSA) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran tahunan BruROSA di tiga tempat berasingan iaitu Cardiff, Ireland dan London.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom dan Ireland, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad.

    Majlis tersebut diadakan dengan kerjasama Persatuan Pelajar Brunei Cardiff (BruSCA), Pelajar-pelajar Brunei di Republik Ireland (BruEire) dan Jawatankuasa Pelajar Dewan Brunei (BHSC) yang turut disediakan di platform maya untuk mengalu-alukan penyertaan daripada beberapa persatuan pelajar Brunei yang lain termasuk BruLeeds, Brusheff, BruBrove, BruEx, BruDundee, EdinBru, serta peserta individu.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa pembukaan yang dipimpin oleh Yang Di-Pertua BruSCA, Wan Muhammad Hafiz bin Wan Habib diikuti dengan bacaan surah-surah lazim yang dipimpin oleh BruSCA.

    Majlis diteruskan dengan bacaan takhtim yang diketuai oleh Pegawai Agama BruEire, Awang Abdul Haziq Idzwan bin Rudiman dan diselajurkan dengan bacaan Doa Khatam dan Doa Penutup Majlis yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kewangan, Awang Safiuddin Safwan bin Said.

    Majlis turut diisikan dengan bacaan Dikir Marhaban yang dipimpin oleh BHSC bersama ahli jawatankuasa yang lain sambil mengagihkan bunga telur kepada setiap hadirin.

    Pada penghujung majlis menyaksikan sesi bergambar ramai dan diakhiri dengan bacaan Tasbih Kifarah serta Surah Al-Asr oleh semua peserta.

    BruROSA dalam kenyataannya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada persatuan-persatuan BruSCA, BruEire dan BHSC kerana telah menyumbangkan usaha dan masa dalam menganjurkan majlis berkenaan.

    Gambar ramai pelajar pada majlis di Dublin, Ireland. – GAMBAR SERAHAN BRUROSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda